Air tiada, pengguna tetap bayar bil

Air tiada, pengguna tetap bayar bil

WAN Mohamad Wan Ibrahim menunjukkan bil air yang diterima setiap bulan di Kampung Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan. MINGGUAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Penduduk di negeri ini tetap membayar bil air setiap bulan meskipun bekalannya gagal disediakan pengendali perkhidmatan.

Gangguan air kerap berlaku di negeri ini sejak 29 tahun lalu.

Tinjauan wartawan Mingguan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk mendedahkan mereka terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkan berdepan sebarang tunggakan bayaran pada masa hadapan.

Seorang peniaga di Lubok Jong di sini, Wan Mohamad Wan Ibrahim, 47, berkata, setiap bulan dia membayar bil mengikut masa ditetapkan walaupun hanya ‘angin’ yang keluar setiap kali paip dibuka.

Katanya, masalah bekalan air bukan sesuatu yang baharu, malah berlarutan selama 29 tahun lalu tanpa sebarang penyelesaian diambil oleh pengendali perkhidmatan.

“Air tidak keluar, tetapi meter tetap berjalan. Setiap bulan saya perlu membayar bil sebanyak RM17.20. Minggu lepas terpaksa tutup kedai seminggu ekoran masalah gangguan bekalan air,” katanya.

Sementara itu, Musa Yaakob, 57, memberitahu, kira-kira 150 buah rumah di Kampung Tasek Bakong, dekat sini terpaksa bergantung kepada telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air.

Katanya, ia disebabkan bekalan air yang sering terputus di kawasan berkenaan dan masalah tersebut sudah berlarutan sejak tiga tahun lepas.

“Saya terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM2,000 untuk mendapatkan sumber air telaga tiub.

“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya apabila bekalan air dari telaga tiub itu berbau busuk dan berkarat. Buat masa ini, saya terpaksa mendapatkan ihsan jiran dengan mendapatkan bekalan air daripada telaganya dengan membuat penyambungan paip,” ujarnya.

Musa berkata, walaupun bekalan air tiada, setiap bulan dia terpaksa membayar bil berjumlah RM4.50 sebulan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya