PUTRAJAYA: Pengurusan Akreditasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) mematuhi segala perundangan Kerajaan Australia di bawah Program Halal Diperakukan Kerajaan Australia – garis panduan untuk penyediaan, pengenalan, penyimpanan dan pensijilan No. 2009/08.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif AHDAA, Ali Warsama menegaskan, prosedur berkenaan dipantau ketat penyelia muslim yang ditugaskan AHDAA di fasiliti tersebut.
Beliau berkata, setiap rumah sembelihan yang ditauliahkan pihaknya menggunakan sistem berkomputer yang mana tidak boleh ada campur tangan secara manual.
“Semua penyembelihan dan pemprosesan ternakan direkodkan dan didokumenkan setiap hari, termasuk status halal atau tidak halalnya, sebagai sebahagian daripada piawaian pertanian Australia.
“Semua pelanggan kami beroperasi di bawah Program Halal Diperakukan Kerajaan Australia merangkumi penguatkuasaan veterinar di tapak. Ini bermakna sebarang campur tangan dalam proses penyembelihan seperti penyingkiran atau penambahan mana-mana komponen haiwan, label atau penandaan, tidak dibenarkan,” katanya dalam maklum balas bertulis di sini semalam.
Ali berkata, langkah ini dilaksanakan bagi memastikan keseluruhan proses dan rantaian bekalan untuk makanan adalah boleh dipercayai serta selamat yang merupakan ciri diiktiraf secara global bagi industri perladangan dan pengeluaran makanan Australia.
Menurut beliau, semua penyembelih dan pemeriksa halal yang berdaftar dan diluluskan AHDAA memegang pengenalan diri yang sah iaitu satu pembuktian dokumen bahawa kakitangan itu merupakan Penyembelih Halal, Inspektor Halal atau Penyelia Halal Serantau bertauliah.
Jelasnya, bagi tujuan itu, setiap daripada mereka mesti menjalani proses latihan dan pensijilan merangkumi latihan dan penilaian di tapak, serta pengajaran tentang fiqh Islam berkaitan proses dan kaedah penyembelihan halal.
Sebagai amalan standard dalam prosedur pengeluaran ternakan dan rantaian bekalan Australia, katanya, piawaian sama dikuatkuasakan kepada AHDAA termasuk semua badan pensijilan halal lain yang beroperasi di Australia.
“Hubungan AHDAA dengan pelanggan kami diuruskan menerusi perjanjian sah. Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, semua kakitangan AHDAA dibenarkan untuk memeriksa dan menjalankan pemeriksaan mengejut ke semua kemudahan seperti bilik penyimpanan sejuk beku atau bilik pembungkusan.
“Kakitangan AHDAA memeriksa pengasingan halal dan tidak halal yang didokumenkan setiap hari. Pelanggan kami juga diwajibkan secara kontrak menyediakan kemudahan kepada kakitangan Islam mengamalkan Islam di tapak seperti solat di surau.
“AHDAA menyediakan garis panduan telus dan jelas untuk sebarang aduan atau maklum balas mengenai mana-mana perkhidmatan atau akreditasi kami terutamanya hal berkaitan halal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan penuh dilaksanakan termasuk lawatan ke fasiliti dan jika ia melanggar undang-undang, aduan rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan (DAFF) Kerajaan Australia dibuat.
“Dalam semua kes, tindakan segera dan sewajarnya diambil untuk membetulkan sebarang penyelewengan amalan dan prosedur bagi memastikan rantaian bekalan tidak terganggu.
“Semua aduan kami dikendalikan secara tegas mengikut ISO17065. Kami mengalu-alukan mana-mana pihak berkuasa berkaitan untuk melawat dan mengaudit operasi kami demi kepentingan bersama umat Islam,” katanya.
Dalam pada itu, AHDAA berkata, pasaran makanan halal merupakan industri penting di peringkat global dan ia menjadi pasaran komersial dan berdaya saing.
Justeru, katanya, sudah tentu terdapat pihak tidak beretika bekerja di belakang tabir untuk melemahkan dan memanipulasi badan pensijilan halal demi memenangi kawalan pasaran, dalam usaha mendapatkan kelebihan berbanding pesaing mereka.
Beliau menjelaskan, kebiasaannya ia dilakukan dengan cara mengumpul dan menyebarkan maklumat palsu dan rekaan. Lebih-lebih lagi, dengan amalan sebegini, nama baik umat Islam turut terancam.
“Untuk memerangi isu ini, semua badan pensijilan halal mesti bekerjasama untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap industri halal dan memelihara integriti produk yang diperakui halal bagi memastikan hak pengguna Islam dilindungi dan dipertahankan.
AHDAA merupakan organisasi pensijilan halal sejak 2012 yang diluluskan DAFF Kerajaan Australia dan menjadi badan pensijilan halal terbesar di Australia untuk bekalan daging.
Dengan pengiktirafan di seluruh dunia, AHDAA boleh menyediakan rangkaian produk yang diperakui halal lebih luas kepada seluruh masyarakat Islam dan dunia, termasuk Malaysia.
AHDAA juga bekerja dalam rangkaian global rakan kongsinya dalam akreditasi halal dalam usaha menambah baik sistem penyampaian AHDAA serta pendidikan awam mengenai amalan halal.
Ia ditubuhkan dan dimiliki serta diuruskan pasukan profesional Muslim berkelayakan dan berpengalaman dalam kebajikan haiwan, keselamatan makanan dan keperluan HACCP.
Pensijilan organisasi AHDAA diiktiraf dan diterima di banyak negara Islam di seluruh dunia seperti Kerajaan Arab Saudi, Kuwait, Indonesia, Singapura, Qatar, Mesir dan UAE. Sistem dokumentasi Halal kami dikawal dan disesuaikan dengan ISO 17065, ISO 17021.
Pasukan audit halal menggunakan platform pengauditan digital yang membolehkan Juruaudit Halal menangkap data masa nyata termasuk foto sebagai bukti semasa audit.
Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan pengakuan tiga bekas pekerja berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di sana selepas isu sama berlaku di Thomas Food Industries (TFI) di Lobethal, Australia.
Rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal AHDAA itu menggunakan kaedah stunning iaitu menembak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disembelih, namun cara berkenaan boleh mengakibatkan tempurung kepala haiwan pecah jika tidak dilakukan dengan betul, sekali gus mengakibatkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.
Tiga bekas pekerja rumah sembelihan itu yang dikenali sebagai Osama, Umar dan Ibrahim telah membuat akuan bersumpah berdasarkan Akta Akuan Berkanun 1959 di bawah Kerajaan Australia sebagai pengesahan segala dakwaan yang dibuat adalah benar. – UTUSAN










