Agong berkenan terima darjah tertinggi kerajaan Turkiye

Agong berkenan terima darjah tertinggi Kerajaan Turkiye

YANG  di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diberikan Sambutan Negara sempena lawatan Baginda ke Turkiye di Kompleks Presiden semalam. - FB ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State sempena Lawatan Negara ke Turkiye.

Anugerah tertinggi yang disampaikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden itu menjadikan Seri Paduka Ketua Negara ASEAN pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Seri Paduka antara lima pemimpin negara yang menerima pingat tersebut di bawah pimpinan Erdogan selain Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz; Raja Belgium, Raja Philip; Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al- Jaber Al-Sabah dan Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi.

Sementara itu, dalam majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan anugerah darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Erdogan.

Darjah kebesaran DMN dikurniakan kepada sultan atau raja yang memerintah negeri namun darjah kebesaran itu juga boleh dikurniakan secara kehormat kepada warga asing serta orang paling dihormati.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah diberikan Sambutan Negara sempena lawatan Seri Paduka ke Turkiye di Kompleks Presiden semalam.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) itu disambut oleh Erdogan.

Seri Paduka menerima tabik hormat daripada Pasukan Pengamanan Presiden diiringi lagu kebangsaan Malaysia ‘Negaraku’ dan lagu kebangsaan Turkiye ‘Istiklal Marsi’ serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Seri Paduka yang diiringi Erdogan, kemudian berkenan memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormatan serta diperkenalkan kepada barisan Kabinet pemerintah Turkiye.

Yang hadir sama Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pegawai Pengiring Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Sri Amran Mohamed Zin; Ketua Protokol Kementerian Luar, Aini Mohd Atan dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kini dalam rangka Lawatan Negara ke Turkiye selama tujuh hari bermula semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya