Abang mati gantung diri dipercayai selepas bunuh adik

Abang mati gantung diri dipercayai selepas bunuh adik

ANGGOTA polis mengangkat mayat kes seorang lelaki mati menggantung diri selepas menikam mati adiknya di Jalan Mohamad Naseh, Housing Trust di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga emas maut dengan beberapa kesan tikaman disyaki dilakukan abangnya yang kemudian dipercayai membunuh diri di sebuah rumah di Jalan Mohamad Naseh, Housing Trust di sini hari ini.

Kejadian sekitar 10.30 pagi itu dikatakan berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dan abangnya yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pasukan polis yang tiba di lokasi kejadian menjumpai seorang lelaki berlumuran darah di bahagian dapur akibat ditikam senjata tajam.

Katanya, seorang lagi lelaki berada di luar kediaman tersebut dalam keadaan leher tergantung.

“Seorang wanita yang juga isteri mangsa berada di dalam rumah ketika kejadian.  Wanita berusia 50-an itu cedera di jari dipercayai ketika cuba meleraikan pertengkaran dua beradik berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, dua beradik itu memang kerap bertengkar yang mana siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca pergaduhan yang membawa kepada kematian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai sebilah golok yang disyaki digunakan sebagai senjata di sisi mayat pemandu teksi berusia 70 tahun.

Katanya, setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan tahap kecederaan mangsa berusia 67 tahun yang maut ditikam. Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Berdasarkan siasatan awal, dua beradik itu tinggal bersama di rumah berkenaan bersama isteri masing-masing dan anak lelaki mangsa. Siasatan juga mendapati suspek membunuh adiknya yang merupakan pesara sebelum bertindak menggantung diri.  Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya