63 penembak profesional sertai operasi tembak gagak

63 penembak profesional sertai operasi tembak gagak

BEBERAPA pemburu bergambar bersama gagak yang berjaya ditembak dalam operasi Crow Sharpshooter (Ops Cross MBSP) di sekitar Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Tembak sehingga 5,000 ekor gagak dan setiap seekor yang berjaya ditembak akan dibayar sebanyak RM5.

Itu yang dijanjikan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kepada 63 penembak berlesen dari seluruh negara yang mengambil bahagian pada edisi pertama operasi memburu gagak atau operasi Crow Sharpshooter (Op Cross MBSP) 2022 ini.

Bukan itu sahaja, Trofi Anugerah Penembak Terbaik bagi setiap edisi serta Trofi The Crow Sharpshooter juga disediakan kepada penembak terbaik keseluruhan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata, ini kali pertama pihaknya menganjurkan pertandingan menembak secara terbuka itu dalam usaha menghapuskan serta mengawal populasi burung itu di Seberang Perai.

Katanya, ia susulan peningkatan jumlah aduan yang diterima berhubung isu kacau ganggu gagak sejak tahun lepas iaitu sehingga 283 kes berbanding hanya 120 kes pada 2019.

“Gagak dianggap haiwan perosak kerana mencemari sesuatu kawasan dengan najis, menghasilkan gangguan bau, bunyi serta mampu membiak dengan cepat jika tidak dikawal dan terdapat sumber makanan yang lumayan dan sebagainya.

“Selain itu, gagak juga memakan hasil pertanian, tanaman, buah-buahan, cacing, serangga, siput, telur burung lain, ikan, bangkai binatang yang dibunuhnya di jalanan dan mempunyai tabiat menyelongkar tong-tong sampah dan kawasan pembuangan sampah untuk mencari makanan,” katanya ketika melancarkan operasi itu di Bandar Perda, di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum ini MBSP menggunakan dua kaedah untuk mengawal populasi burung tersebut iaitu melalui Crow Abundance Mapping (CrAM) yang membabitkan analisis aduan serta tinjauan lokaliti secara ‘walk-through’ pada setiap tahun.

Ia bagi mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ lambakan gagak serta aktiviti kawalan rutin yang terdiri daripada aktiviti menembak gagak dua kali setahun pada hari Sabtu, pemusnahan sarang dan pemasangan perangkap.

Dalam pada itu Azhar berkata, selepas edisi pertama di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) itu selesai, edisi kedua iaitu di Seberang Perai Utara (SPU) akan diadakan pada 24 September diikuti edisi terakhir pada 15 Oktober di Seberang Perai Selatan (SPS).

Katanya, untuk SPT, 15 lokasi ‘hotspot’ telah dikenal pasti antaranya berhampiran pusat beli-belah Sunway Carnival Mall di Seberang Jaya; sekitar Bandar Perda, Taman Pauh Indah; sekitar kawasan Penang Science Park dan Kawasan Perusahaan Perai; Taman Machang Bubok; Taman Pelangi serta beberapa kawasan lain khususnya yang terletak berhampiran kawasan penempatan.

“Untuk tujuan keselamatan awam, MBSP telah menetapkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat-syarat khusus untuk dipatuhi peserta pada setiap masa.

“Pada masa yang sama, pasukan-pasukan khas yang terdiri daripada pegawai MBSP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga akan ditugaskan sepenuh masa di lokasi-lokasi yang terlibat.

“Ini bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya yang berhasrat menjadikan operasi itu sebagai acara tahunan MBSP selepas ini.

Tambahnya, semua peserta yang majoritinya penembak profesional dan berpengalaman mendapat permit kelulusan untuk mengambil bahagian dalam operasi itu daripada ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.