KOTA KINABALU: Penubuhan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) dengan keanggotaan seramai 50 orang dilihat akan memperkasakan lagi penguat kuasaan aktiviti jenayah hidupan liar di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penubuhan WCB itu akan membolehkan siasatan dibuat secara terselia di peringkat Bukit Aman bagi memastikan tiada kes-kes yang terlepas begitu sahaja.
Beliau berkata, WCB merupakan satu unit baharu yang akan ditempatkan di bawah kelolaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.
“Kita mendapat kelulusan perjawatan pada pertengahan Julai lepas dan saya percaya dengan penubuhan unit WCB ini, ia akan memberi impak yang berkesan dalam usaha memerangani jenayah berkaitan hidupan liar khususnya pemburu haram dan perdagangan spesies tumbuhan yang dilindungi.
“Justeru, 50 perjawatan ini kita akan wujudkan secepat mungkin. Kita akan mengenal pasti pegawai dan anggota yang akan menganggotai unit WCB ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK),di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan dan Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Menurut Acryl Sani, walaupun unit WCB itu ditempatkan di Bukit Aman namun, tugasan mereka akan meliputi kes-kes di Sabah dan Sarawak termasuk kes pemburuan dan penjualan hidupan liar serta pokok-pokok terlarang.
Mengulas lanjut katanya, dalam mesyuarat itu, mereka turut muktamadkan tiga prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana ketiga-tiga negeri mempunyai peruntukan undang-undang yang berbeza.
Acryl Sani berkata, gerak kerja adalah sama namun, peruntukan akta dan ordinan sahaja berbeza bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Tambah beliau, SOP itu akan berkuat kuasa serta merta dalam usaha memerangai jenayah berkaitan hidupan liar.
Menerusi OBK itu, pihaknya mahu meningkatkan kesedaran pendedahan kepada masyarakat umum betapa pentingnya mengekal, memelihara dan memulihara khazanah-khazanah negara.
Jelas beliau, pelaksanaan undang-undang yang ada di bawah Perhilitan tidak akan bercanggah dengan peruntukan undang-undang termaktub dalam enakmen di Sabah kerana semua agensi terlibat saling bekerjasama.- UTUSAN










