30 permainan tradisi makin pupus

30 permainan tradisi makin pupus

KANAK-KANAK pada zaman dahulu menjadikan permainan tradisional seperti batu seremban untuk mengisi masa lapang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 30 rutin tradisi termasuk permainan masyarakat terdahulu semakin pupus dan dibimbangi lenyap ditelan zaman kerana kurang diberikan pendedahan terutama kepada kira-kira sembilan juta kanak-kanak ketika ini.

Pada era gajet dan teknologi hari ini, kehidupan kanak-kanak berubah kerana lebih terdedah kepada aplikasi permainan secara dalam talian dan media sosial.

Generasi baharu ketika ini tidak menikmati keseronokan berlari-lari di padang yang luas dan mengeluarkan peluh kerana terikat dengan gajet dan peranti digital tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said berkata, Malaysia sebuah negara kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang ‘tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas’.

Jelasnya, permainan seperti congkak, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, tarik upih, konda-kondi dan ketinting diamalkan masyarakat dahulu sebagai mengisi masa lapang.

“Sayangnya permainan tradisional yang menunjukkan kebudayaan sesuatu tempat itu semakin terpinggir apabila kebanyakan daripada permainan itu kurang diketahui golongan muda kerana tidak didedah dari peringkat awal.

“Berbeza dengan masyarakat terdahulu, ia rutin harian mereka termasuk kanak-kanak yang didedahkan dengan permainan dan warisan budaya terbabit.

“Namun, bagi kanak-kanak masa kini, ramai yang tidak tahu tentang tradisi itu kerana perkembangan pesat teknologi gajet dan penambahan aplikasi permainan secara maya,” katanya di sini semalam.

ARIPIN SAID

Aripin berkata, kebanyakan permainan tradisi dimainkan secara berkumpulan, sekali gus mewujudkan interaksi sosial dan merapatkan hubungan antara ahli masyarakat.

“Pada suatu masa dahulu, permainan adalah suatu aktiviti senggang yang dijalankan dengan meriah seakan-akan pesta keramaian.

“Penduduk kampung tanpa mengira usia turun beramai-ramai sama ada untuk menyertai pertandingan atau sebagai penyokong dalam suasana pertandingan yang sihat.

“Permainan-permainan dahulu juga kebanyakannya banyak memberi manfaat kepada individu dan masyarakat. Selain membina kemahiran sosial, juga memberi faedah fizikal dan mental,” katanya.

Beliau berkata, permainan strategi seperti dam aji dan congkak, merangsang minda seseorang berfikir secara kritis, membantu mempertingkat kemahiran mengira serta sentiasa fokus dalam sesuatu tugas.

“Namun sedihnya semua itu makin dilupakan ketika ini dan tidak mustahil lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi muda masa ini,” katanya.

Secara umumnya, beliau berkata, permainan tradisional bukan sahaja sebagai hiburan, malah ia memberikan manfaat terhadap kecerdasan rohani dan jasmani ketika bermain terutama di luar rumah.

“Mewarisi tradisi kaum terdahulu bukan bermakna kita berada di takuk lama apabila mengamalkannya.

“Sebaliknya kita perlu berbangga dengan kebudayaan kaum sendiri yang mampu mengangkat kita bersama-sama dalam membangunkan negara,” jelasnya.

Beliau berkata, sebelum wujudnya internet, pembentukan identiti remaja termasuk kanak-kanak adalah berdasarkan interaksi dengan dunia sebenar serta daripada pergaulan.

“Kewujudan internet dan media sosial menyebabkan pembentukan jati diri golongan tersebut makin lama makin terhakis kerana mudah terdedah kepada budaya tidak sihat.

“Jati diri dan identiti bangsa perlu dipertahankan, pastikan tradisi dan budaya kita dijaga supaya ia tidak lenyap atau pupus,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.