19 September sebutan semula kes bunuh isteri, bayi

19 September sebutan semula kes bunuh isteri, bayi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini menetapkan tarikh 19 September ini sebagai sebutan semula kes seorang lelaki yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya, bulan lalu.

Majistret, Mohd. Zulhilmi Ibrahim menangguhkan kes itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki yang memaklumkan memerlukan masa kira-kira sebulan lagi.

Muhammad Arif menjelaskan bahawa pihaknya memerlukan masa kerana belum memperoleh laporan kimia, bedah siasat dan laporan psikiatri tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd. Adam, 24.

“Hari ini ditetapkan untuk status laporan kimia, bedah siasat dan psikiatri, namun laporan-laporan belum diperoleh. Saya mohon tarikh untuk sebutan semula dalam sebulan,” katanya.

Pada prosiding hari ini, tertuduh tidak hadir ke mahkamah, namun dia diwakili peguam Munirah Najihah Shaari yang memberitahu mahkamah bahawa dia baharu dilantik bagi pihak tertuduh.

Difahamkan, Mohamad Amir Nazri tidak hadir ke mahkamah pada hari ini kerana masih dirujuk di Hospital Permai, Kempas, di sini bagi rawatan psikiatri.

Turut kelihatan di luar bilik mahkamah adalah keluarga tertuduh dan mangsa.

Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dituduh di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef, dua bulan lapan hari.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu, di sini antara pukul 11.30 hingga 11.40 pagi, 4 Julai lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan insiden yang mengejutkan itu apabila suspek bertindak mengelar leher isteri dan anak tunggalnya sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal dalam keadaan berbogel. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya