18 individu seludup barang kontraban, tembakau, air zam zam

18 individu seludup barang kontraban, tembakau, air zam zam bernilai RM 931,260 ditahan

Sebahagian barangan kontraban, produk tembakau dan air zam zam dianggarkan bernilai RM931,260 dengan nilai cukai RM1.8 juta yang dirampas JKDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Kira-kira 18 individu ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan barangan kontraban, produk tembakau dan air zam zam dianggarkan bernilai RM931,260 dengan nilai cukai RM1.8 juta.

Penahanan kesemua suspek berkenaan dilakukan menerusi Op Kontraban mulai 1 Mei hingga 31 Julai lalu hasil operasi khas oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur di Pelabuhan Barat dan Pelaburan Utara, Pelabuhan Klang serta beberapa premis sekitar Lembah Klang.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohamad Sabri Saad berkata, rampasan pertama membabitkan 23,496 liter (l) minuman keras jenama Lambo dalam pemeriksaan sebuah kontena  yang tiba di Pelabuhan Utara dari negara jiran pada 25 Mei lalu.

Kata beliau, semakan mendapati tiada sebarang dokumen berkaitan kelulusan pengimportan minuman keras itu dikemukakan oleh pengimport.

“Semakan di ‘bill of lading’ (bil muatan) pula mendapati barangan dalam kontena itu diikrarkan sebagai peralatan mesin,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat JKDM Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM 136,000 dengan nilai cukai dianggarkan RM 902,000.

Tambah, Mohamad Sabri, rampasan kedua pula membabitkan 667 kilogram (kg) tembakau kunyah dianggarkan bernilai RM42,000 dengan jumlah cukai dianggarkan RM58,640.

Jelas beliau, produk tembakau itu ditemukan dalam sebuah kontena diisytiharkan membawa barangan isi rumah dari sebuah negara Asia Selatan pada 8 Jun lalu di Pelabuhan Utara.

“Produk berkenaan disembunyikan di bahagian belakang muatan kontena bersama selipar dan produk makanan lain bagi mengaburi pihak berkuasa,” jelasnya.

Sementara itu, pada 21 Jun lalu pula, Mohammad Sabri berkata JKDM berjaya merampas 5,400 kotak dengan setiap satu berisi sebotol air zam zam 5 liter dalam pemeriksaan sebuah kontena yang tiba dari Timur Tengah di Pelabuhan Barat.

Kesemua air zam zam dianggarkan berisi padu 27,000 liter bernilai RM 601,260 dengan nilai cukai kira-kira RM180,380z

“Berdasarkan maklumat Bil Muatan, barangan dalam kontena diikrarkan sebagai ‘barangan peribadi’ yang sepatutnya dikecualikan daripada dikenakan cukai.

“Air zam zam adalah barangan diklasifikasikan sebagai barang larangan import mengikut Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengimport) 2017,” jelasnya.

Ujar Mohammad Sabri, ini adalah rampasan kedua JKDM Kuala Lumpur membabitkan kontena berisi air zam zam dengan kali pertama pada Januari lalu di pelabuhan sama dengan kuantiti serta nilai sama.

“Siasatan awal juga mendapati ‘air mineral’ ini juga dijual secara komersial melalui platform e-dagang dan secara dalam talian,” katanya.

Menurut beliau, semua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, katanya menerusi Op Kontraban II Zon Tengah pada 18 Julai hingga 27 Julai lalu, mematahkan rantaian aktiviti menyimpan dan menjual barangan tidak berkastam dalam serbuan di sekitar Lembah Klang.

‘Tangkapan dan rampasan tertumpu dalam aktiviti pembekalan, penjualan dan penyimpanan rokok dan arak seludup yang dipercayai diseludup melalui laut dan darat.

“Seramai 18 individu ditahan dan 30 kertas siasatan dibuka bagi tujuan pendakwaan,” katanya yang turut memaklumkan kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Mohammad Sabri berkata sepanjang Januari hingga Jun lalu, JKDM Kuala Lumpur berjaya membuat 866 rampasan membabitkan nilai rampasan RM107 juta dengan nilai cukai RM 67 juta. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya