KOTA TINGGI: Hasrat 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki warga Indonesia untuk keluar secara haram dari negara ini tidak kesampaian apabila mereka diberkas semasa menunggu bot untuk pulang ke negara asal tengah malam semalam.
Dalam Op Pintas pada 12.30 tengah malam itu, turut ditahan tiga tekong darat dan kesemua mereka berusia antara 21 hingga 47 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, aktiviti penyeludupan PATI itu terbongkar hasil tangkapan ke atas seorang lelaki dipercayai warganegara sama.
Katanya, polis mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dipandu suspek yang disyaki sebagai tekong darat dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil soal siasat, lelaki berkenaan mengaku terlibat dalam penyeludupan sebelum menunjukkan terdapat 16 PATI sedang menunggu bot di kawasan Jalan Pengerang untuk keluar dari negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Susulan itu, pada pukul 6 pagi, pihak polis menahan sebuah kereta Proton Waja yang dipandu lelaki warga asing berumur 30-an yang disyaki terlibat dalam menguruskan perjalanan kesemua migran tersebut.
Siasatan lanjut ke atas kesemua PATI membawa kepada penahanan seorang wanita warga tempatan di kawasan Kulai yang disyaki bertindak sebagai ‘penjaga rumah ‘penampungan’ dengan menyediakan tempat sebagai transit kepada kesemua migran yang ditangkap.
“Ekoran itu kesemua tekong darat dan migran ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kesalahan menyeludup imigran itu boleh didakwa di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. J\ika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum tiga bulan dan maksimum dua tahun serta tidak kurang daripada tiga sebatan.
Selain itu, kesalahan berkenaan juga boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sshingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN









