Warga emas didakwa tidak senonoh sebenarnya nyanyuk, ada masalah komunikasi - Polis - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa tidak senonoh sebenarnya nyanyuk, ada masalah komunikasi – Polis

HANTARAN yang tular di dalam laman Facebook sejak semalam mengenai lelaki warga emas yang didakwa mencabul kanak-kanak perempuan di Taman Semilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Dakwaan terdapat seorang lelaki warga emas yang cuba berkelakuan tidak senonoh terhadap kanak-kanak perempuan seperti tular dalam laman Facebook sejak semalam didapati tidak benar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, ia susulan dua laporan polis yang dibuat oleh suspek sendiri untuk menafikan dakwaan tersebut selain siasatan lanjut yang dijalankan polis.

“Hasil siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu berusia 80 tahun dan tinggal di Taman Semilang, Seberang Jaya.

“Keterangan lanjut daripada saksi-saksi kemudian mengesahkan suspek nyanyuk dan tidak boleh berkomunikasi dengan baik selain tinggal di taman (perumahan) yang sama dengan kanak-kanak terbabit,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, hantaran yang tular melalui laman Facebook Seberang Jaya/Seberang Perai sejak semalam itu mendakwa, terdapat seorang lelaki yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh terhadap kanak-kanak perempuan.

Dalam hantaran tersebut, penulis mendakwa suspek memegang bahagian dada dan kemaluan mangsa selain menasihatkan semua pihak berhati-hati dengan lelaki tersebut yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya.

Sementara itu Cheng San berkata, ibu kepada kanak-kanak berkenaan juga telah diambil keterangan dan wanita tersebut memaklumkan lelaki berkenaan telah dianggap sebagai ahli keluarganya.

Katanya, wanita itu juga telah mengesahkan perkara yang tular itu tidak benar dan menafikan suspek telah melakukan perkara tidak senonoh terhadap anaknya.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak terus menularkan perkara ini kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat khususnya yang tinggal di Seberang Jaya.

“Tindakan ‘viral’ (menularkan) sesuatu maklumat daripada sumber yang tidak sahih dan sah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN