SEREMBAN: Menyedari isu kenaikan harga barang turut memberi kesan kepada golongan mahasiswa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dekat sini, melaksanakan beberapa inisiatif meringankan beban dihadapi pelajarnya.
Naib Canselornya, Prof. Sharifudin Md. Shaarani berkata, inisiatif tersebut termasuk menerusi penyediaan bantuan makanan dan program-program kebajikan.
Katanya, program bantuan tersebut khusus untuk mahasiswa golongan asnaf dan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) di universiti itu.
“Program Musaadah for Student adalah inisiatif membantu pelajar B40 melalui sumbangan makanan dan wang tunai. Seramai 340 pelajar menerima manfaat ini dan jumlah bantuan yang disampaikan adalah sebanyak RM24,100,” katanya hari ini.
Jelasnya, selain melaksanakan program seperti bank makanan, universiti itu menyediakan bantuan berbentuk pek makanan melalui Central Kitchen yang diuruskan Pusat Islam USIM.
“Sumbangan pek makanan disediakan setiap Rabu dan Khamis oleh staf serta Sekretariat Pusat Islam yang memberi manfaat kepada 300 pelajar yang berkunjung ke Pusat Islam USIM. Program Menu Jimat USIM akan diperkenal dengan harga berpatutan merangkumi set nasi berlauk dengan kadar harga RM3.50,” katanya.
Sementara itu, katanya, USIM dalam perancangan melaksanakan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai bulan ini kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus.
“Kos itu membolehkan pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Pusat Wakaf dan Zakat USIM membuat agihan zakat kepada pelajar berkeperluan dan bantuan ini memberi manfaat kepada 626 pelajar dengan jumlah agihan sebanyak RM379,700. – UTUSAN