JITRA: Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata susulan gesaan dibuat Malaysia, hasil perbincangan panjang antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja, semalam.
Perdana Menteri berkata, perbincangan menerusi panggilan telefon itu dibuat atas dasar hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua negara serta penghormatan mereka terhadap kedudukan Malaysia di rantau ini.
“Saya menyatakan pandangan kepada mereka, tolong sebagai sahabat Malaysia lakukan segera gencatan senjata.
“Mereka bersetuju dengan cadangan itu, namun meminta sedikit masa kerana tentera sudah berada di sempadan dan memerlukan waktu untuk dimobilisasi keluar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2025 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Anwar turut menzahirkan rasa syukur kerana gesaan Malaysia itu disambut dengan penuh hormat, sekali gus menggambarkan kedudukan negara ini sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan terus berkembang pesat.
“Syukur alhamdulillah kerana mereka menerima pandangan kita dengan baik. Ini kerana Malaysia sebuah negara aman dan stabil. Sebab itu ada yang cemburu, baik dari dalam mahupun luar negara.
“Dalam ceramah, ada yang kata ekonomi hancur, rakyat melarat. Tak apa lah kerana itu helah politik tapi hakikatnya negara ini terus membangun. Bandingkan dengan negara-negara jiran, kita berada pada kedudukan jauh lebih baik,” katanya. – UTUSAN










