Tahanan Palestin di Israel dipaksa minum arak, disimbah air mendidih - Utusan Malaysia

Tahanan Palestin di Israel dipaksa minum arak, disimbah air mendidih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Dua pertubuhan hak asasi Palestin mendedahkan laporan mengenai penderaan kejam yang dialami oleh tahanan Palestin dari Gaza yang kini ditahan di penjara dan kem tentera Israel, termasuk dipaksa minum arak, disimbah air mendidih, serta diseksa secara fizikal dan mental.

Dalam satu kenyataan bersama, Persatuan Banduan Palestin dan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan memaklumkan pasukan guaman mereka telah mengumpul ratusan testimoni mangsa melalui lawatan ke beberapa fasiliti tahanan Israel pada Julai lalu, termasuk Ketziot, Ofer, Sde Teiman dan Russian Compound.

“Testimoni ini mencerminkan tahap penyeksaan yang belum pernah berlaku sebelum ini sepanjang proses penahanan dan soal siasat,” kata kenyataan itu disamping turut menegaskan tahanan berdepan jenayah perubatan, kebuluran yang disengajakan serta penderaan sistematik di dalam penjara dan kem tentera.

Salah seorang tahanan melaporkan beliau dipaksa meminum alkohol, manakala seorang lagi cuba membunuh diri selepas seorang pegawai siasatan Israel menipu dengan mendakwa seluruh keluarganya telah terbunuh, satu dakwaan yang kemudian didapati tidak benar.

Beberapa mangsa lain menceritakan mereka dipukul dengan teruk dalam keadaan berbogel, disimbah dengan air mendidih, malah diserang oleh anjing, menyebabkan kecederaan serius.

Difahamkan, puluhan tahanan telah meninggal dunia akibat penyeksaan, manakala ramai lagi masih hilang secara paksa tanpa sebarang maklumat lanjut.

Kedua-dua pertubuhan itu menyifatkan perbuatan tersebut sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, dan menggesa institusi antarabangsa agar segera menjalankan siasatan serta mengheret pihak bertanggungjawab dalam rejim Israel ke muka pengadilan.

Sejak serangan ketenteraan dilancarkan pada Oktober 2023, lebih 59,200 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, majoritinya wanita dan kanak-kanak serta telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran terhadap infrastruktur, menumbangkan sistem kesihatan, serta mencetuskan krisis kebuluran yang dahsyat.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas kesalahan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel kini turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang berdarahnya ke atas wilayah Gaza. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×