KEMAMAN: Tiga pekerja mengalami kecederaan dalam kebakaran di sebuah kilang memproses suplemen ayam di kawasan perindustrian Kertih, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Basri Kamarazaman berkata, kebakaran di tingkat tiga kilang tersebut yang berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
“Kebakaran dipercayai berlaku ketika tiga pekerja sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di aras tiga bangunan itu yang menyebabkan seorang pekerja tempatan berusia 31 tahun melecur dan cedera di bahagian kepala.
“Dua lagi pekerja iaitu masing-masing warga Myanmar patah tangan dan cedera di kepala selepas panik terjun dari tingkat tiga untuk menyelamatkan diri manakala seorang lagi rakannya hanya cedera ringan,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini.
Muhammad Basri berkata, seramai 61 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Kijal dan Kerteh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Kita mengambil masa kira-kira satu jam untuk memadam kebakaran dan ketangkasan anggota bomba berjaya mengawal api dari terus merebak ke aras lain dan hanya 30 peratus aras tersebut yang terbakar,” katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Dungun dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Pada Januari lalu, sebuah gudang yang menempatkan kayu palet dan uniform lama di syarikat tersebut turut hangus terbakar. – UTUSAN










