Ridwan fokus cari semula rentak kayuhan

Ridwan fokus cari semula rentak kayuhan

MUHAMMAD RIDWAN SAHROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom tidak meletakkan sasaran tinggi menjelang Siri Trek Asean (Piala Presiden) 2 yang berlangsung di Velodrom Nilai, hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu memulakan musim ini dengan positif apabila meraih gangsa dalam acara pecut elit Siri Trek Asean (Piala Presiden) 1, Rabu lalu selain menduduki tempat keempat bagi acara keirin.

Ridwan berkata, sasaran tinggi tidak diletakkan dalam kejohanan tersebut memandangkan dia baharu sahaja kembali beraksi selepas dua minggu cuti kerana menjalani ibadah umrah.

“Saya tak letak harapan terlalu tinggi. Sebelum perlumbaan pun saya masuk trek dua kali. Tiada persiapan yang mantap. Saya dapat jadual latihan, ada dua sesi trek dan dua sesi lebuh raya.

“Persiapan kecil untuk saya tapi masih mampu menamatkan perlumbaan 10.1 saat (s) (acara pecut), persiapan Sukan SEA tempoh hari banyak membantu saya,” katanya.

Mengulas lanjut, atlet dari Johor itu berkata, dia optimis untuk mengharungi musim ini susulan membuka tirai 2026 dengan kejayaannya membawa pulang satu gangsa.

“Alhamdulillah kembali ke podium selepas 14 hari mengerjakan umrah setelah tamatnya Sukan SEA 2025. Ini salah satu pembakar semangat saya untuk kembali bangkit selepas cuti dua minggu.

“Saya pun baru pulih daripada demam, seminggu sebelum balik ke Malaysia (dari Mekah),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN