KANGAR: Sekitar era 80-an dan 90-an, Bazar Melayu di sini sentiasa menjadi tumpuan khususnya dalam kalangan ibu bapa mencari kelengkapan sekolah anak sebelum sesi baharu persekolahan bermula.
Namun, selepas Pekan Kangar semakin pesat dengan banyak kedai baharu muncul termasuk kewujudan bandar baharu di Kangar Jaya yang menawarkan lebih banyak pilihan, ia menyaksikan Bazar Melayu semakin suram.
Daripada 15 kedai, kini hanya tinggal seorang warga emas, Hamidon Ahmad, 72, yang masih bertahan meneruskan perniagaan pakaian seragam, perkhidmatan jahitan dan aksesori sekolah.
Bazar Melayu itu meskipun menanti masa ‘lenyap’, namun lokasi berkenaan mempunyai nilai sentimental tinggi sejak beroperasi pada 1957.
Disebabkan itu, Hamidon bersama isterinya, Intan Baharom, 60, terus bertahan meskipun peniaga lain sudah berpindah atau tidak lagi meneruskan perniagaan.
Hamidon berkata, dia menawarkan khidmat berkaitan baju seragam termasuk menjahit lencana dan ubahsuai pakaian seragam sekolah.
Katanya, kedainya masih menggunakan kaedah jahitan tangan untuk tujuan berkenaan.
“Sehari kita dapat siapkan 20 pasang baju dengan kebanyakan pelanggan tetap yang selalu datang buat tempahan kerana sudah selesa dengan kerja tangan isteri. Dulu, Bazar Melayu ini sangat meriah terdapat 15 lot kedai, namun kini hanya saya yang masih beroperasi sepenuhnya.
“Saya tidak berpindah kerana tempat ini ada nilai sentimental tersendiri kerana rumah kedai yang ada ini sejak sebelum merdeka lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hamidon berkata, apabila dia kekal berniaga di situ, sekurang-kurangnya tidak ada usaha mana-mana pihak untuk merobohkan lokasi berkenaan.
“Walaupun agak usang dan kurang menarik pemandangan pelanggan, namun saya tetap setia dengan lokasi yang penuh bersejarah ini,” katanya. – UTUSAN










