TELUK INTAN: Sempena sesi persekolahan 2026 yang akan bermula Isnin ini, kira-kira 100 murid berusia enam hingga 17 tahun sekitar Kampung Bahagia menyertai program gunting rambut percuma di Dewan Seri Bahagia di sini, semalam.
Ketua Kampung, Samsiah Latif berkata, program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung (JPKK) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa terutama kumpulan B40.
“Program ini merupakan kerjasama antara penduduk dan kedai gunting rambut Mr. Choor Empire bermula pukul 8 pagi hingga tengah hari.
“Program gunting rambut ini kali pertama diadakan di sini dengan percuma. Bagi saya ia sangat baik kerana dapat membantu meringankan beban golongan B40 terutama yang ada anak ramai yang bersekolah.
“Jika pergi ke kedai gunting rambut, mungkin kena membayar hampir RM15 hingga RM20,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Seorang pelajar, Muhammad Iqbal Kakimi Rosli, 15, berkata, dia datang awal kerana seronok dapat menyertai program gunting rambut percuma menjelang sesi persekolahan 2026.
“Ini kali pertama saya dapat gunting rambut percuma dan dapat ringankan beban ibu bapa saya,” katanya. – UTUSAN










