Tidak patut tolak usul bincang banjir Baling - Pembangkang - Utusan Malaysia

Tidak patut tolak usul bincang banjir Baling – Pembangkang

TAN Kok Yew ketika cuba mengemukakan usul untuk membincangkan isu berkaitan tragedi banjir lumpur dan kepala air di Kupang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri serta Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sewajarnya mengambil peluang untuk berbincang dan menjawab persoalan dikemukakan bagi merungkai tanda tanya berkaitan tragedi kepala air dan banjir yang berlaku di Kupang, Baling, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, usul tersebut tidak sepatutnya ditolak ketika ia dikemukakan pada awal sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

“Namun awal-awal lagi usul tersebut ditolak. Saya sangat sedih apabila berlaku kematian dan kehilangan rumah di Gunung Inas, tetapi ada pula pihak cuba jadikan perkara ini sebagai isu politik. Ada akhbar, orang tertentu cuba menggambarkan kononnya kronologi berlakunya bencana ini bermula pada 2018 iaitu ketika PH menerajui Kedah. Itu sesuatu yang tidak adil dan perkara sebegini perlu dijelaskan dalam DUN,” katanya ketika ditemui selepas sidang DUN berkenaan di sini hari ini.

Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat hari ini menolak dua usul dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengenai perkara berkaitan bencana terbabit.

Usul pertama dibawakan oleh Ismail (PH-Pengkalan Kundor) yang mengemukakan usul tergempar isu banjir dan kepala air dengan merujuk kepada peruntukan Peraturan Mesyuarat Perkara 27(1), (2), (3) dan (4).

Usul kedua pula dibawa Tan Kok Yew (PH-Derga) untuk menangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi membincangkan satu perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai.

Untuk usul yang dibawa Ismail, Juhari menjelaskan beliau menolak usul tersebut kerana tempoh notis diberikan ADUN berkenaan terlalu singkat dan tidak mengikut peraturan ditetapkan iaitu 14 hari sebelum tempoh persidangan atau jika diusulkan melalui Menteri Besar, tempohnya adalah tujuh hari.

“Kalau perlu disegerakan lagi dan dibawa Menteri Besar sendiri, itu boleh dalam tempoh satu hari. Ringkasnya usul ini ditolak kerana tidak mengikut peraturan masa 14 hari itu,” katanya.

Ismail bagaimanapun diberi ruang untuk membacakan notis usul tersebut yang bertarikh 17 Julai 2022, sebelum keputusan penolakan usul tersebut dibuat.

Mengulas mengenai penolakan usul dibawa Kok Yew, Juhari berkata, penolakan usul tersebut disebabkan oleh masa yang tidak sesuai kerana tindakan secara tergesa-gesa itu sama sekali tidak adil kepada kerajaan dan Speaker.

“Saya faham mesej nak disampaikan Pengkalan Kundor dan Derga. Kita akan pergi untuk selesaikan masalah itu tetapi disebabkan masa tidak sesuai, maka saya buat keputusan tolak usul tersebut. Tetapi kita akan bawa benda ini ke persidangan pada masa depan, siap dengan laporan serta cadangan yang akan membuatkan keadaan menjadi lebih teratur,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, peraturan untuk memberi notis usul selama 14 hari sebelum sidang DUN bermula adalah untuk memberikan masa yang cukup kepada pihak terlibat khususnya kerajaan menyediakan jawapan kepada persoalan berbangkit.

“Jika isu yang nak dibangkitkan itu tentang isu teknikal dan memerlukan laporan dari jabatan berkaitan, maka kita perlu tunggu laporan teknikal dari jabatan tersebut. Tak bolehlah kita semberono cakap dalam DUN tetapi bila laporan keluar nanti, kenyataannya berbeza,” katanya.

Begitu pun katanya, beliau faham bahawa desakan pembangkang kepada kerajaan untuk membincangkan isu terbabit secara tergesa-gesa adalah dengan tujuan supaya kerajaan tidak bersedia dengan laporan daripada jabatan terlibat. Apabila kita tak dapat beri jawapan memuaskan, isu ini kemudiannya akan dipolitikkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya