GEORGETOWN: Kerajaan negeri telah berusaha menyediakan satu litar khusus untuk peminat sukan motosikal di negeri ini, namun tiada syarikat yang berminat menyertai proses permohonan pengemukaan cadangan projek berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, RFP itu telah dibuka tahun lalu, namun tiada satu pun syarikat yang memberi maklum balas mengenainya.
”Sebelum ini kita ada cadangan untuk membuka satu litar besar di Batu Kawan, kita telah menjemput syarikat-syarikat yang layak untuk menyertai RFP projek ini di bawah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.
”Kita telah berusaha untuk elakkan kejadian sedemikian (kemalangan) tetapi tidak ada syarikat yang memberi maklum balas kepada RFP tersebut kerana mungkin mereka tidak nampak potensi dalam sediakan litar ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Lip Chee mengumumkan akan membina litar lumba di Batu Kawan bersebelahan Kompleks Stadium Negeri di atas tanah berkeluasan 2.8 hektar antara stadium dan Sungai Jawi sebagai lokasi dalam mencari bakat sukan permotoran baharu.
Menurut Kon Yeow, pihaknya amat kesal dengan kejadian kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Ahad lalu yang menyebabkan lima maut kerana nyawa adalah sesuatu yang amat bernilai.
”Saya difahamkan ada gelaran mat rempit yang diberikan kepada mereka ini oleh media dan beberapa pihak lain, ini adalah satu masalah sosial di seluruh negara yang perlu diambil tindakan oleh semua pihak.
”Semua pihak perlu sedar jalan raya apabila digunakan untuk aktiviti perlumbaan semestinya menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberikan kesedaran kepada ahli keluarga masing-masing mengenai bahaya menjadikan jalan raya sebagai tempat aktiviti perlumbaan.
“Kita tidak dapat harapkan pihak berkuasa berada di setiap tempat, malah polis juga sering mengambil tindakan penguatkuasaan untuk membendung aktiviti ini, namun masih kurang berhasil.
”Jadi kempen kesedaran perlu dilakukan secara berterusan dan ibu bapa serta ahli keluarga perlu memikul tanggungjawab supaya anak muda tahu risiko sekiranya menjadikan jalan raya sebagai tempat perlumbaan,” katanya.
Selain itu tambah beliau, tenaga golongan muda sepatutnya disalurkan kepada aktiviti berfaedah dan pihaknya berharap tragedi seperti kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal itu tidak berulang. –UTUSAN










