Tiada kemeriahan Aidiladha

Tiada kemeriahan Aidiladha

SEBAHAGIAN mangsa banjir di Baling, Kedah terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di Kupang, Kedah -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Ketika majoriti umat Islam sedang sibuk mencari buluh untuk membakar lemang dan menganyam ketupat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha Ahad ini, episod berlainan pula dilalui penduduk Kampung Iboi dan beberapa kampung lain di Kupang, di sini.

Ini kerana tidak pernah dalam sejarah sejak berpuluh tahun lalu, mereka akan berhari raya bukan di rumah sendiri, tetapi kali ini akur apabila tarikh 10 Zulhijah hanya bertemankan khemah di pusat pemindahan sementara (PPS).

Tragedi kepala air dan banjir lumpur Isnin lalu bukan sahaja menyebabkan mereka tidak membuat sebarang persediaan untuk beraya, bahkan tidak merasai suasana untuk menyambut perayaan itu.


SEORANG lelaki mencuci lantai yang diseliputi lumpur tebal akibat kejadian kepala air di Kampung Hangus, Baling, Kedah. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Seorang penduduk, Nor Azah Aziz, 45, antara yang terpaksa menerima hakikat apabila buat pertama kali dia tidak dapat berkumpul bersama ahli keluarga yang lain di rumahnya pada pagi raya.

“Setiap tahun, saya menyediakan juadah hari raya sama ada semasa Aidilfitri atau Aidiladha untuk anak-anak dan saudara mara. Tetapi kali ini, barang-barang untuk buat laksa pada hari raya pun sudah hanyut entah ke mana.

“Malah, buluh lemang yang berada di halaman rumah kami juga tidak lagi kelihatan kerana tebing Sungai Kupang umpama padang jarak padang terkukur, tiada apa yang tinggal.

“Maka, untuk berhari raya pada Ahad ini memang tidak ada dalam aktiviti kami sekeluarga kerana masih berlindung di PPS ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Rumah Nor Azah antara 18 rumah yang rosak teruk di Kampung Iboi, di samping 15 buah kediaman lagi hanyut tanpa meninggalkan sebarang kesan.

SEORANG lelaki melintasi sungai yang menjadi cetek selepas kejadian banjir kilat dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling, Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Seorang lagi penduduk, Che Hasnah Ismail, 48, pula berkata, dia tidak mahu berfikir soal berhari raya kerana mengenangkan ujian yang dihadapi mereka.

“Rumah pun sudah tidak boleh diduduki, bagaimana nak berhari raya, tiada barang apa-apa pun yang sempat diselamatkan melainkan nyawa kami sekeluarga,” katanya sambil tidak dapat menahan sebak.

Kata Che Hasnah, dia bagaimanapun tetap bersyukur kerana mereka empat beranak terselamat dalam tragedi itu termasuk anak keduanya yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Bagi Che Nan Isa, 58, mereka yakin ada hikmah di sebalik kejadian menimpa penduduk itu yang berlaku kurang seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha tiba.

“Tak mengapa kami tidak berpeluang sambut raya tahun ini, kemeriahan mungkin tetap ada di sebalik kesedihan ini kerana masih boleh mendirikan solat sunat pada pagi raya nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya