PUTRAJAYA: Elaun hanya sebanyak RM500 sebulan yang dibayar kepada pembantu tabika di seluruh negara pada ketika ini disebabkan oleh faktor tempoh kerja mereka agak pendek.
Perkara tersebut didedahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad namun memberi jaminan kadar itu sedang dikaji semula kerajaan.
“Mereka ini dianggap cikgu tambahan atau dipanggil Pembantu Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) dengan bertugas hanya dari 8 pagi sehingga 12 tengah hari lima hari seminggu.
“Tugas mereka sebenarnya bantu guru tadika terutama bagi memastikan murid tidak cedera, makanan disediakan cukup dengan tempoh kerja pun tidak lama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulan Julai dan juga melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi Kemas 2022-2026 di Dewan Sri Lestari, kementerian berkenaan di sini hari ini.
Akhir bulan lalu, media tempatan melaporkan keluhan beberapa pembantu tabika Kemas yang cuma memperoleh elaun bulanan RM500 dan dianggap amat tidak berbaloi dengan tugas.
Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam reaksi segera telah memberi jaminan bahawa pihaknya memberi perhatian kepada isu itu dan mengakui kadarnya rendah, malahan cadangan kenaikan elaun pekerja terbabit sudah dihantar untuk pertimbangan serta dinilai semula Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
Ketika ini terdapat sejumlah 11,000 tabika Kemas yang memberi pendidikan awal prasekolah kelompok B40 di negara ini melibatkan kira-kira 200,000 murid dan lebih 10,000 guru terlatih.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihak kementerian tersebut masih lagi dalam proses perbincangan teliti kerana ia turut membabitkan banyak kategori sebelum diberikan kelulusan.
“Kita memang prihatin dengan nasib pembantu tabika terutama yang tinggal di bandar besar apatah lagi kos sara hidup amat tinggi dan akan cuba perjuangkan isu mereka ini,” tegasnya yang turut memberitahu permohonan kenaikan kadar elaun tersebut masih tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan yang akan dimasukan dalam bajet tahunan. – UTUSAN










