Tawar pinjaman tak wujud: 12 individu didenda RM3,000 seorang

Tawar pinjaman tak wujud: 12 individu didenda RM3,000 seorang

SEBAHAGIAN daripada 12 individu dipercayai ahli sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seramai 12 individu termasuk tiga wanita yang menawarkan aktiviti pinjaman wang tidak wujud sejak tahun lepas didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh iaitu Foo Shi Jie, 19; Muhammad Syafiq Aiman Mohd Sofian, 19; Nornajihah Sutiman, 19; Chan Zi Quan, 21; Ryman Shah Razes, 21; Ng Zi Xuan, 21; Muhammad Faisal Zainal Akbar, 22; Tan Chia Yee, 22; Ainul Taherah Johari, 22; Low Jia Chun, 22; Muhammad Hafiz Shamsul, 26, dan Muhammad Norzulhilme Sumari, 29, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka dengan tujuan melakukan pakatan jahat jenayah, telah bersetuju melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang iaitu menawarkan pinjaman tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Jun lalu kira-kira pukul 12.45 tengah hari di sebuah kediaman beralamat di A-18-Tower A, Kondominium BM City, Jalan Perda dalam daerah Seberang Perai Tengah, di sini.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dan dibacakan di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin. 

Terdahulu, ketika prosiding, Mohamad Syafiq Nasrullah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh turut membabitkan kepentingan orang awam.

Bagaimanapun, Benjamin memberitahu mahkamah kebanyakan anak guamnya masih muda, masih belajar dan ada yang tidak bekerja gara-gara pandemik Covid-19 serta telah insaf dengan perbuatan masing-masing.

Dalam penghakimannya pula, Mohd. Harith berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira fakta kes serta rayuan yang dibuat oleh peguambela tertuduh.

Katanya, kegagalan membayar hukuman denda itu boleh menyebabkan tertuduh dipenjara sehingga enam bulan selain semua barang kes yang dirampas dilupuskan. Difahamkan, kesemua tertuduh membayar denda tersebut hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya