Tapak pelupusan haram di Kampung Semarang dikesan

Tapak pelupusan haram di Kampung Semarang dikesan

TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) meninjau keadaan tempat menjadi punca pencemaran bau akibat pembuangan sisa toksik di Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengesan sebuah tapak pelupusan haram yang dipenuhi sisa kimia disyaki buangan terjadual (BT) termasuk sampah domestik dan sisa-sisa plastik di Kampung Semarang berdekatan Kampung Orang Asli Bukit Jenuk, Sepang di sini semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, siasatan dijalankan selepas JAS menerima aduan pencemaran bau kimia yang mengganggu penduduk kawasan perumahan di sekitar Dengkil, Cybersouth dan Presint 5, Putrajaya sejak seminggu lalu.

Menurut beliau, penduduk tempatan memaklumkan terhidu pencemaran bau seakan-akan bau air kencing kucing dan tikus ketika awal pagi dan malam terutamanya ketika melalui jalan pintasan Dengkil di Taman Emas, Taman Kristal dan Presint 5.

“Siasatan digerakkan secara intensif oleh JAS mulai 30 Jun lalu dan semalam, hasil maklumat daripada orang awam, kita berjaya menjejaki lokasi sebenar punca pencemaran bau kimia tersebut.

“Kawasan ini lebih dikenali penduduk tempatan sebagai lombong ‘Nam Tak’ dengan anggaran keluasan tapak 1.3 hektar dan terletak kira-kira 700 meter dari Sungai Langat,” katanya menerusi sidang akhbar di tapak pelupusan haram di Kampung Semarang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, ketika siasatan dijalankan, JAS turut menemui sebuah paya dipenuhi sisa kimia bercampur sampah domestik serta 100 tong besi berkapasiti 200 liter mengandungi sisa kimia disyaki BT berbentuk cecair, separa cecair dan pepejal berwarna.

Selain itu, katanya, terdapat sisa-sisa bekas intermediate bulk container (IBC) yang telah dipotong dan kandungannya dialirkan ke sebuah lubang besar yang digali.

Jelas beliau, sampel buangan yang disyaki BT juga diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

“Kita telah menggerakkan pasukan siasatan untuk mengenal pasti pelaku, pengeluar buangan (kilang) dan juga kontraktor pengangkut yang terlibat selain menyita sebuah jentera berat yang digunakan untuk melupuskan buangan.

“Saya juga mengarahkan Ketua Pengarah JAS untuk menyelaras satu mesyuarat dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi mengambil tindakan pembersihan segera dan mengeluarkan kesemua buangan dari lokasi kejadian untuk dilupuskan di tapak yang dilesenkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, kesemua bukti yang ditemui di lokasi kejadian akan dikumpul bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dilakukan JAS.

“Kita ambil semua bukti sama ada pada tong, kertas, punca bahan dan tanda nama syarikat. Kalau ada sebarang indikator kita akan buat susulan, setakat ini kita kumpul semua bukti yang boleh dijadikan asas untuk kita mengambil tindakan terutamanya bahan-bahan kimia yang dilupuskan.

“Kita akan cari sampai lubang cacing siapa yang bertindak membuat pelupusan haram ini dan kita tak mahu tengok lagi (kejadian ini) di Selangor khususnya dan negeri-negeri lain, nasib baik kawasan ini tidak bersambung dengan Sungai Langat yang jaraknya kira-kira 700 meter dari sini, bayangkan kalau mengalir ke sungai sehingga terpaksa menutup loji air dan sebagainya,” katanya.

Ujar beliau, sebanyak 97 aduan diterima oleh JAS membabitkan pencemaran bau tersebut melibatkan Putrajaya, Dengkil serta Cyberjaya sejak 28 Jun lalu sehingga hari ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya