Tak menang tangan urus cawangan ke-4 perniagaan nasi Lemak

Tak menang tangan urus cawangan ke-4 perniagaan nasi Lemak

PEMILIK Nasi Lemak Ayam Goreng Rangup (Crunchy) cawangan Tasek Gelugor, Bebe Nur Aqeela Mohamad Yunus Khan di premis perniagaannya di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Dua beradik di sini tidak menang tangan mengusahakan perniagaan Nasi Lemak Ayam Goreng ‘Crunchy’ yang baharu sahaja membuka cawangan keempat selepas tiga cawangan di sekitar Lembah Klang berkembang maju.

Pemilik Nasi Lemak Ayam Goreng ‘Crunchy’ cawangan Tasek Gelugor, Bebe Nur Aqeela Mohamad Yunus Khan, 29, berkata, dalam sehari dia menjual lebih 200 bungkus nasi lemak.

“Setiap hari antara 20 hingga 30 ekor ayam habis manakala nasi pula sehingga 25 kilogram. Memang tak sangka sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premis miliknya dan adiknya, Bebe Nur Ardeela , 27, di Taman Desa Ara Permai, di sini baru-baru ini.

Kata anak kelahiran Kulim, Kedah itu, pada mulanya dia teragak-agak menyambung perniagaan yang diusahakan keluarganya sejak 22 tahun lalu itu ekoran terikat dengan komitmen seperti sudah mempunyai pekerjaan tetap di sebuah syarikat swasta selain bergelar ibu kepada seorang cahaya mata.

“Saya dan adik tak berniat untuk sambung perniagaan tersebut. Tambahan, kami masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri di sini yang mana adik juga mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang pengurusan di sebuah syarikat elektronik di Kulim,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Bagaimanapun katanya, mereka meneruskan legasi perniagaan itu mengenangkan kepayahan ibu bapa mereka yang bertungkus-lumus mengusahakan perniagaan nasi lemak yang bermula di tepi jalan di ibu kota sehingga mempunyai cawangan sendiri demi menyara dia dan adik beradik yang lain.

“Disebabkan kepayahan mereka, saya dan Bebe Nur Adeela mengambil keputusan meneruskan impian orang tua kami dan kami tidak mahu menoleh ke belakang lagi,” katanya yang mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

Bebe Nur Aqeela berkata, meskipun berdepan kenaikan harga bahan mentah melibatkan ayam, telur, ikan bilis dan lain-lain bahan, ia tidak menjadikannya sebagai seorang yang ‘lokek’ dalam berniaga lebih-lebih lagi jika melibatkan perniagaan makanan.

“Ibu pernah pesan, kalau nak berniaga makanan jangan berkira sebab rezeki itu Allah SWT yang tentukan. Semakin banyak kita bersedekah, semakin murah rezeki kita. Dan saya percaya kerana apa yang kami dapat sekarang adalah rezeki yang tidak pernah putus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya