PUTRAJAYA: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mahu pengilang dan peruncit memberi komitmen menurunkan harga minyak masak yang dijual apabila berlakunya penurunan minyak sawit.
Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mendapati berlakunya trend penurunan minyak sawit pada kadar RM3,800 setong dan ini menunjukkan penurunan harga boleh berlaku.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, sekiranya minyak sawit turun RM3,750 ke bawah, semua pihak berkaitan dimohon bekerjasama dan minta turunkan harga minyak masak yang dijual.
Katanya, adalah tidak adil harga minyak dinaikkan atas alasan harga minyak yang naik tinggi baru-baru ini tetapi apabila harga minyak turun, harga runcit minyak tidak diturunkan.
“Dalam masa yang sama, semua agensi-agensi terbabit termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diarah untuk melihat mekanisme harga runcit minyak masak.
“MPOB sudah diarah mengadakan sesi libat urus dengan 22 pengeluar minyak yang sedang beroperasi untuk meninjau mekanisme menurunkan harga runcit minyak masak di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan ayam, Annuar berkata, setakat ini jumlah keseluruhan subsidi harga ayam yang diperuntukkan kerajaan sejak 5 Februari adalah RM1.1 bilion.
Beliau berkata, berdasarkan laporan yang dibentangkan pada mesyuarat hari ini, harga serta bekalan ayam di pasaran adalah stabil.
“Semakan yang dibuat pasukan penguat kuasa mengesahkan terdapat penjual ayam yang menjual dengan harga jauh lebih rendah dari harga siling malah ada yang kurang daripada RM9. Atas faktor itu, keseluruhan ekosistem berkaitan dengan pengeluaran ayam sedang diteliti dan pemantauan berterusan akan dilakukan untuk memastikan sistem bekalan dan ekosistem bekalan ayam adalah terkawal,” katanya.
Annuar berkata, kerajaan juga telah memperkenal beberapa langkah untuk memastikan bekalan ayam terus stabil di pasaran.
“Kerajaan juga mempermudah cara prosedur import ke atas empat komoditi (soya, gandum, jagung dan makanan ternakan). Malah, kita mempercepat proses keperluan lesen pengimportan yang sebelum ini 30 hingga 90 hari kepada tujuh hari bekerja dan menambah pusat oenyembelihan serta loji pemprosesan di luar negara,” katanya. – UTUSAN










