Syarikat global, komuniti bisnes, usahawan rayu kerajaan kaji GEG - Utusan Malaysia

Syarikat global, komuniti bisnes, usahawan rayu kerajaan kaji GEG

Syarikat global, komuniti biasa dan usahawan meminta kerajaan mengkaji semula GEG dan memperincikan lagi RUU Kawalan Tembakau dan Merokok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat multinasional antarabangsa (MNC), komuniti perniagaan tempatan dan usahawan vape bumiputera merayu kerajaan mengkaji semula pelaksanaan polisi Generasi Penamat (GEG) dan memperincikan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang dibentangkan beberapa hari lalu.

Ini kerana ia memberi kesan besar kepada industri dan turut dirasai lima badan industri vape iaitu Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Malaysian Vapers Alliance (MVA) dan Malaysian Organization of Vape Entity (MOVE).

Terdapat kira-kira 3,000 usahawan dan perniagaan vape di Malaysia dengan 15,000 pekerja selain membabitkan satu juta pengguna.

Lima badan industri vape tersebut sebulat suara memohon kerajaan mengkaji semula RUU dan polisi GEG.

Presiden Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Datuk Adzwan Ab. Manas berkata, dalam RUU tersebut, polisi GEG ke atas produk vape akan menyebabkan industri diharamkan pada masa akan datang.

Menurut beliau, ini bermakna industri tempatan akan terpaksa gulung tikar dan banyak syarikat dan usahawan tempatan akan terkesan.

“Malah, industri juga tidak boleh menggaji sesiapa yang dilahirkan selepas 2007 kerana RUU tersebut melarang individu yang dilahirkan selepas 2007 untuk memiliki atau memegang produk dalam melaksanakan tugas pekerjaan,” kata Adzwan.

Menyamakan

Presiden Malaysian Vapers Alliance (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, RUU itu tidak patut menyamakan vape dan rokok dari segi tafsiran.

Menurut beliau, tafsiran ‘merokok’, ‘peranti merokok’, ‘bahan merokok’ perlu diperbetulkan untuk hanya produk rokok tembakau sahaja.

“Vape tidak patut diletakkan bersama dalam tafsiran ini dalam RUU tersebut kerana ia memberikan mesej yang salah kepada pengguna.

“Vape bukannya rokok dan penggunaan vape bukannya bermaksud merokok. Kementerian Kesihatan Malaysia tidak boleh mengabaikan fakta ini,” jelas beliau.

Presiden Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, jika RUU tersebut diluluskan, 800 hingga 1,000 akan kehilangan pekerjaan serta-merta kerana RUU untuk vape adalah terlampau ketat.

Katanya, ramai pekerja dalam industri termasuk produk reviewer, eksekutif kandungan kreatif, pereka grafik, eksekutif pemasaran, editor kreatif, editor video akan hilang pekerjaan kerana RUU ini mempunyai larangan aktiviti pemasaran yang sangat ekstrem.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, pihak industri sememangnya menyokong kerajaan untuk mewujudkan kawal selia untuk industri ini.

“Tetapi RUU itu perlu diperbaiki dengan lebih terperinci kerana ia akan memberikan kesan yang teramat besar kepada industri dan pengguna di Malaysia,” katanya.

Kajian

Presiden Malaysian Organization of Vape Entity (MOVE), Samsul Kamal Ariffin Mohd. Basir mencadangkan kajian menyeluruh mengenai RUU dan pelaksanaan GEG ke atas produk alternatif seperti produk vape dan produk pemanasan tembakau serta kesannya ke atas industri perlu dibuat terlebih dahulu.

Menurut beliau, hasil kajian perlu dibentangkan kepada semua pihak terlibat sebelum keputusan dibuat.

Sementara itu, myNEWS Retail Sdn. Bhd. dalam kenyataan merayu kepada semua ahli Parlimen untuk menilai semula keputusan mereka sebelum meluluskan Rang Undang-undang Tembakau yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, untuk bacaan kali pertamanya.

Jika rang undang-undang ini diluluskan, lebih 500 MyNEWS Retail di seluruh Malaysia akan terjejas.

Mereka baru sahaja keluar dari bayang-bayang Perintah Kawalan Pergerakan dan secara beransur-ansur bangkit semula.

“Kami percaya larangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan rokok haram. Dengan bahagian pasaran melebihi 60 peratus agensi penguatkuasaan sudah pun bergelut untuk membanteras permerdagangan rokok haram.

“Larangan rokok secara menyeluruh membolehkan sindiket penyeludupan mendapat dominasi keseluruhan pasaran. Adakah agensi penguatkuasa dapat menghentikan perkara ini? Ini hanya akan menguntungkan sindiket jenayah,” kata MyNEWS melalui kenyataan itu.

Polisi GEG di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang akan melarang individu dilahirkan dari 2007 dari membeli, memiliki dan menggunakan rokok, tembakau yang dipanaskan atau vape bersifat menghukum semua pihak.

Sehubungan itu Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) yang terdiri daripada British American Tobacco (Malaysia) Bhd., JT International Berhad dan Philip Morris (Malaysia) Sdn. Bhd. dalam surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengkajinya semula.

Banyak kesan

Dalam surat bertarikh 30 Julai itu, mereka berkata, walaupun RUU itu hanya bertujuan memberi kesan kepada mereka yang lahir selepas 2007 dan penguatkuasaan mungkin hanya akan bermula pada 2025, ia mempunyai lebih banyak kesan kepada ekonomi secara keseluruhan.

“Cadangan Generasi Penamatbersifat menghukum dan ia menghukum semua. Peniaga akan merasa sukar untuk melaksanakan beberapa peruntukan undang-undang tertentu dan dalam beberapa kes, ia juga akan meningkatkan kos pematuhan.

“Dengan kos pematuhan yang lebih tinggi disebabkan RUU tersebut, syarikat dan peniaga akan berhadapan kesukaran mengekalkan daya saing dalam keadaan ekonomi sukar ini.

“Sebahagiannya mungkin terpaksa menutup perniagaan memenyebabkan beribu-ribu pekerja menganggur. Dalam situasi lain, peniaga mungkin terpaksa mengambil langkah pemotongan kos untuk memastikan kos keseluruhan dapat dikawal.

“Secara tidak langsung, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 juga berkemungkinan memberi kesan negatif kepada daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan kerana fungsinya terhad,” rayu mereka.

Kebebasan

Mereka juga mendakwa RUU itu bersifat serangan terhadap kebebasan peribadi warganegara.
Pada masa sama Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah digubal untuk memberi perlindungan lebih baik kepada pengguna dan hak yang diberikan oleh akta ini tidak boleh dibatalkan.

Ini dinyatakan dalam Seksyen 6 Akta tersebut, yang menyatakan bahawa akta tersebut tetap akan terpakai walaupun cuba dihadkan melalui kontrak. Pengguna mempunyai kebebasan untuk memilih, yang merupakan hak mereka sebagai pengguna.

Gabungan syarikat itu juga menyifatkan hukuman dikenakan di bawah RUU itu terlalu berat dengan generasi masa depan akan tertakluk kepada penguatkuasaan yang keras, menghadapi kemungkinan penggeledahan kenderaan dan rumah, pemeriksaan telefon dan akses secara paksa kepada data peribadi.

Lebih membimbangkan, kata mereka, RUU itu bakal memberikan kuasa penguatkuasaan yang sangat luas kepada pegawai yang diberi kuasa, seperti kuasa untuk mengakses data peribadi yang memerlukan pengguna memberikan kata laluan peranti mereka; membuka beg seseorang; menahan dan menggeledah kenderaan; dan memasuki rumah seseorang secara paksa untuk menggeledah dan menyita, dengan waran atau tanpa waran, termasuk pemeriksaan badan.

Disebabkan undang-undang ketat, ia mewujudkan pasaran produk tembakauharam dengan anggaran ketika ini hampir 60 peratus rokok dijual secara haram.
Angka industri menunjukkan bahawa larangan secara terang-terangan boleh mengakibatkan insiden perdagangan haram meningkat daripada 57.7 peratus pada Mei 2022, kepada setinggi atau lebih daripada 63.8 peratus seperti tahun 2020.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.