BALING: “Pelbagai usaha kami lakukan termasuk membawa kepada pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, tetapi seperti sia-sia apabila tiada tindakan diambil setakat ini.”
Demikian luahan penduduk, Kamarudin Zakaria, 56, yang juga Pengerusi Badan Bertindak Bantahan Kuari Gunung Baling mengenai nasib mereka yang bakal berdepan risiko keselamatan sekiranya projek kuari batu kapur berhampiran Kampung Padang Che Mas dan Kampung Dalam Wang, di sini diteruskan.
Projek itu dikatakan hanya terletak 150 meter dari kawasan penempatan penduduk.
Kamarudin berkata, penduduk sangat kecewa dengan keadaan itu kerana seolah-olah tindakan mereka selama ini dipandang sepi oleh para pemimpin tempatan.
Katanya, surat kepada Menteri Besar dan wakil-wakil rakyat telah dihantar untuk makluman dan tindakan mereka, tetapi tiada seorang pun mendengar rintihan rakyat atau prihatin dengan masalah penduduk kampung itu.
“Kami kini tertekan, takut dan runsing serta terancam apabila memikirkan projek ini sekiranya dijalankan kerana ia beri kesan buruk kepada penduduk dan alam sekitar. Namun, kami tak akan berhenti bersuara dan bertindak walau apa cara sekalipun untuk menghalang dan menghentikan ini demi mempertahan Gunung Baling, Gunung Pulai dan Gunung Padang Che Mas,” katanya semalam.
Pada 12 April tahun lalu, dilaporkan Gunung Baling setinggi 420 meter dari aras laut yang terletak di Mukim Pulai di sini, dipercayai bakal lenyap selepas sebuah kuari diberi kelulusan untuk beroperasi selama 145 tahun.
Rentetan itu, lebih 100 penduduk Kampung Padang Che Mas, Kampung Dalam Wang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan bantahan berkaitan projek kuari batu kapur yang berhampiran dengan kedua-dua kampung itu.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd. Yusaimi Md. Yusuf berkata, rakyat tidak menolak pembangunan tetapi ia harus mengambil kira kesejahteraan dan keharmonian penduduk, alam sekitar serta khazanahnya.
“Menjadi kewajipan kepada kita untuk jaga dan pertahan khazanah alam demi kehidupan manusia dan masa hadapan. Alam sekitar yang baik akan berikan kesihatan yang baik,” katanya.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Perindustrian Pelancongan Daerah Baling, Mohammad Jamil Anni Abdullah pula berkata, kawasan yang cantik, aman dan damai itu tidak sepatutnya dicerobohi, apatah lagi ia digazetkan sebagai kawasan eko pelancongan daerah Baling.
“Sekiranya berlaku pencerobohan ataupun kerosakan termasuk melakukan sebarang projek seperti kuari batu, ia boleh memberi impak buruk terhadap pencemaran dan kerosakan teruk alam sekitar dan manusia serta matlamat untuk wujudkan eko pelancongan tidak akan tercapai.
“Oleh itu, kami sangat menyokong usaha penduduk kampung dan akan sedaya-upaya membantu mereka menghentikan projek kuari batu ini demi kepentingan penduduk kampung dan khazanah alam yang ada di daerah ini,” katanya. – UTUSAN









