Suami isteri ditahan edar dadah RM2.06 juta - Utusan Malaysia

Suami isteri ditahan edar dadah RM2.06 juta

MIOR Faridalathrash Wahid (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan sepasang suami isteri dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 20.7 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM2.06 juta dalam serbuan berasingan di sini Khamis lalu.

Lelaki berusia 34 tahun dan isteri warga Vietnam berusia 38 tahun dipercayai pengedar dadah itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak pada pukul 4.40 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek lelaki ditahan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Raja Musa Mahadi di mana pemeriksaan dalam keretanya menemukan 10 bungkusan plastik hijau bertulis ‘Guanyingwang’ berisi dadah disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.3kg.

Katanya, susulan tangkapan tersebut, polis kemudiannya menahan isteri suspek di tepi jalan di sekitar Panorama Lapangan Perdana.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan dalam sebuah kereta yang diletakkan di sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh dan menemukan 10 bungkusan plastik hijau berisi dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 10.3kg.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah 20.7kg yang dianggarkan berharga RM2.07 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua mereka mendapati hanya suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Pasangan suami isteri itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak tiga bulan lalu dan dadah tersebut disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan. Jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 200,000 penagih dadah.

“Kedua-dua mereka direman tujuh hari sejak Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita jam tangan Rolex, seutas rantai kaki, sebentuk cincin dan seutas gelang manik berloket bernilai RM83,315. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya