Tender program solar skala besar dijangka dibuka tahun ini

Tender program solar skala besar dijangka dibuka tahun ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tender bagi Program Solar Berskala Besar 6 (LSS6) dijangka dibuka pada tahun ini, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, semua projek tenaga solar pada masa hadapan disyaratkan menggabungkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

“Ia bertujuan bagi memperkukuh kestabilan grid sambil memperluaskan kapasiti tenaga boleh baharu.

“LSS6 merupakan antara bidang yang sedang dipercepatkan kerajaan susulan krisis tenaga yang berlaku di peringkat global.

“Ini merupakan salah satu bidang yang sedang kami teliti kerana jika kita melihat kepada projek solar LSS 6, ia mesti dilengkapi dengan sistem bateri.

“Ini bermakna semua penjanaan tenaga baharu yang menggunakan solar dan sebagainya perlu disertakan dengan sistem bateri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Mikro MSC dan HKCT bagi memajukan peralihan tenaga Malaysia di sini semalam.

Kerjasama itu menandakan langkah penting Mikro MSC dalam memperluaskan penglibatannya dalam sektor penyimpanan tenaga yang berkembang pesat selaras usaha negara mempercepatkan peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Di bawah kerjasama selama dua tahun itu, kedua-dua pihak akan mengenal pasti, membangunkan, meneroka, merunding dan melaksanakan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, bekalan bahan api di Malaysia adalah mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan perubahan musim panas di hemisfera utara.

“Saya fikir kita sudah bersedia sepenuhnya. Petroliam Nasional Berhad (Petronas) juga sedang meneliti semua kemungkinan.

“Saya percaya syarikat itu telah mendapatkan dan menjamin bekalan, khususnya bekalan minyak mentah, untuk keperluan negara kita,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN