Siasatan Hakim Nazlan: Dua persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan - Utusan Malaysia

Siasatan Hakim Nazlan: Dua persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan seorang aktivis dan dua orang peguam untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Dua persoalan yang ingin dirujuk ke Mahkamah Persekutuan ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dibenarkan untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan yang digantung tugas dan sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan prosiding bagi kesalahan yang dilakukan oleh hakim-hakim yang masih dalam perkhidmatan.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan, persoalan yang ditimbulkan berkait rapat dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membabitkan kebebasan badan dan pertaliannya dengan pengasingan kuasa.

“Adalah jelas siasatan yang dijalankan oleh defendan kedua (SPRM) ke atas Hakim yang masih bertugas dilihat sebagai pencerobohan terhadap pengasingan kuasa itu dan juga kebebasan badan kehakiman oleh masyarakat.

“Siasatan tersebut memberikan gambaran bahawa badan kehakiman sedang diserang yang akan memberi kesan terhadap tanggapan masyarakat dan keyakinan terhadap institusi tersebut,” kata Hakim Noorin.

Tambah hakim itu, merujuk kepada kepentingan persoalan yang ditimbulkan, Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah yang tepat dan wajar untuk mendengar perkara yang memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhannya.

“Keputusan akhir dan muktamad yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan selaku mahkamah tertinggi negara akan memberi kesan kepada keyakinan masyarakat dan kebebasan badan kehakiman.

“Mahkamah berpendapat rujukan ke Mahkamah Persekutuan akan memberi manfaat kepada semua pihak memandangkan ia membabitkan badan kehakiman secara keseluruhannya,”katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Oktober ini untuk pengurusan kes itu bagi memaklumkan mahkamah status terkini permohonan terbabit.

Hadir pada prosiding hari ini ialah peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili plaintif-plaintif iaitu aktivis Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan Nur Ain Mustapa serta Sreekant Pillai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga dalam saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lalu diwakili Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.

Menerusi saman pemula, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan kedua (SPRM) tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka (hakim) digantung tugas.

Mereka mendakwa siasatan oleh SPRM terhadap Hakim Mohd. Nazlan itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Kesemua plaintif antara lain memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat selain memohon deklarasi siasatan terhadap Hakim Mohd. Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Pada 21 Mei lalu, Azam Baki dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan terhadap Hakim Mohd. Nazlan yang bermula sejak Mac lalu sudah dilengkapkan dengan mengumpulkan bukti-bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan.

Hakim Mohd. Nazlan merupakan hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan pada 21 April lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, artikel yang ditulis oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account‘ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.