MELAKA: Kisah seorang ibu tunggal cekal menjaga kedua orang tuanya yang uzur dengan bergantung kepada jualan nasi lemak seperti disiarkan Utusan Malaysia sebelum ini, mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Shuhaidah Sawi, 47, akan menerima bantuan penjagaan pesakit terlantar sebanyak RM500 bermula Ogos depan.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, masalah yang dihadapi keluarga Shuhaidah mendapat perhatian JKM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kota Melaka sejak dua tahun lalu.
Jelasnya, JKM dan Japerun masing-masing telah beberapa kali datang menziarahi keluarga itu bagi proses permohonan tetapi disebabkan beberapa dokumentasi yang tidak lengkap menyebabkan ia tertangguh.
“Apa pun kita ambil tindakan yang lebih besar iaitu yang datang mesti untuk membantu bukan menuding jari pada pihak lain.
“Mengenai bantuan lampin pakai buang, nama pemohon telah disenaraikan tetapi belum tahu bila akan diterima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga Shuhaidah di kediamannya di Taman Kota Laksamana di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pendapatan harian ibu tunggal itu tidak menentu lantas menjejaskan perbelanjaannya untuk menguruskan bapa, Sawi Basri, 67, dan ibu, Hamidah Halil, 64.
Kata Shuhaidah, pendapatan harian sebanyak RM50 tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan dianggarkan berjumlah lebih RM1,000. – UTUSAN










