PETALING JAYA: Dakwaan yang mengatakan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menerima sejumlah wang iaitu bernilai RM1.162 juta daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) adalah tidak benar.
Shahril yang juga Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri berkata, dirinya tidak terlibat dengan sebarang perkara dengan lejar tersebut seperti yang didakwa.
Menurutnya, beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung dengan dakwaan tersebut.
“Saya menegaskan dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Malah, saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan lejar yang kononnya mengandungi nama ‘S Pat’ mahupun kandungan lejar tersebut.
“Saya selanjutnya menyatakan bahawa saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua keadaan sekalipun berkenaan perkara ini,” katanya melalui kenyataannya sebagai maklum balas kenyataan saksi dalam kes perbicaraan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Dalam keterangan itu, saksi memberitahu, Sharil adalah antara penerima dana politik daripada UKSB. – UTUSAN