PLUS lancar projek rintis tol tanpa palang Hutan Kampung–Sungai Dua

PLUS lancar projek rintis tol tanpa palang Hutan Kampung–Sungai Dua, guna ANPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperkenalkan sistem pembayaran tol terbuka berasaskan pengecaman nombor plat automatik (ANPR) bagi kenderaan persendirian di jajaran Hutan Kampung–Sungai Dua sebagai projek rintis arah pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa palang (MLFF) di negara ini.

PLUS dalam kenyataan berkata, menerusi inisiatif itu, pengguna PLUS yang berdaftar berpeluang menikmati konsep ‘kebebasan lorong’ apabila tidak lagi terikat kepada lorong khas tertentu.

Katanya, pengguna sebaliknya boleh memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong tol di sembilan plaza tol iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

“Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik menerusi platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna.

“Sistem berkenaan disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang direka untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan serta nombor plat tidak standard, selain terus meningkatkan tahap ketepatan dari masa ke semasa.

“Projek rintis fasa pertama melibatkan jarak 87.7 kilometer itu dijangka dapat melancarkan aliran trafik di plaza tol selain mengurangkan risiko pertukaran lorong pada saat akhir,” katanya.

Menurutnya, sejak September 2024, PLUS telah menjalankan ujian sistem pembayaran ANPR secara menyeluruh dengan hasil menunjukkan pengesanan yang lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada berikutan liputan kamera yang lebih luas di plaza tol.

Katanya, ujian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama rapat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuh raya lain.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol akan kekal digunakan dan pengguna dinasihatkan mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 kilometer sejam ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti.

“Untuk menggunakan sistem tersebut, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih JustGO Malaysia, mendaftarkan kenderaan serta menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit, tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan dan tanpa kos pendahuluan,” katanya.

PLUS berkata, aplikasi JustGO Malaysia dibangunkan sebagai platform pembayaran digital terbuka yang dirancang untuk dimiliki bersama oleh industri lebuh raya bagi memperluaskan pilihan pembayaran tol selaras dengan aspirasi kerajaan menyediakan kaedah pembayaran yang lebih fleksibel kepada pengguna.

“Kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat, manakala kaedah pembayaran sedia ada seperti Touch ’n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa.

“PLUS turut menjemput pengguna lebuh raya di laluan Hutan Kampung hingga Sungai Dua untuk mencuba sistem berkenaan dan menikmati kemudahan kebebasan lorong, e-invois serta pilihan pembayaran menggunakan kad debit dan kredit tanpa kos pendaftaran tambahan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang justgo.com.my atau e-mel [email protected] UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN