Semak semula hukuman mati mandatori, laksana hukuman diyat

Semak semula hukuman mati mandatori, laksana hukuman diyat

MUSA HASSAN dan HISHAMUDIDN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membuat semakan semula secara menyeluruh berkenaan hukuman mati mandatori. 

Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, dikhuatiri peratusan kes jenayah akan terus meningkat sekiranya hukuman mati mandatori dihapuskan sepenuhnya. 

Kedua-dua pertubuhan itu berkata, hukuman mati mandatori perlu selari dengan prinsip keadilan sejagat dan konsep pencegahan jenayah. 

“Di Malaysia, terdapat 32 jenis kesalahan jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman mati dan 11 daripadanya adalah hukuman mati mandatori. Namun, hukuman mati wajar dikekalkan bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang berat dan mengancam keselamatan serta keamanan sejagat. 

“Tetapi, hakim boleh menggunakan kuasa budi bicaranya sama ada  untuk menjatuhkan hukuman atau hukuman penjara untuk tempoh yang panjang atau hukuman sebat terhadap pesalah dalam menjatuhkan sesuatu hukuman. 

“Oleh itu, kami menggesa supaya kerajaan mengekalkan hukuman mati mandatori atas kesalahan pengedaran dadah manakala jenayah-jenayah lain yang dilakukan tanpa niat tetapi melibatkan nyawa dan juga kesalahan mangsa penyeludupan dadah, hukuman mati mandatori wajar diganti dengan hukuman mati pilihan atau lain-lain hukuman,” katanya. 

Kenyataan itu ditulis bersama oleh Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim hari ini. 

Selain itu, pertubuhan itu mencadangkan kerajaan untuk mempertimbang dan mengguna pakai konsep undang-undang jenayah Islam iaitu hukuman diyat sebagai hukuman melibatkan kematian nyawa. 

“Diyat adalah hukuman dalam bentuk pampasan yang akan dibayar oleh pesalah atau waris atau ahli keluarga pesalah kepada waris atau keluarga mangsa. Konsep hukuman ini wjaar diteliti kerana ia satu bentuk keadilan kepada waris atau keluarga mangsa yang dibunuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN