KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri menyelesaikan isu berkaitan memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan pekerja Indonesia.
Beliau berkata, perkara itu perlu diselesaikan dengan kadar segera bagi mengelakkan hubungan kedua-dua negara terjejas sekiranya ia terus berlarutan.
“Saya dah minta kepada Menteri Sumber dan Menteri Dalam Negeri supaya selesaikan isu ini segera. Saya nak selesaikan isu ini.
“Saya tak nak panjang-panjang. Saya takut perkara ini boleh mengeruhkan hubungan antara kita dengan Indonesia. Jangan ada perkara-perkara seperti ini yang boleh menyebabkan masalah hubungan kita,” katanya kepada pemberita.

ISMAIL Sabri Yaakob berucap merasmikan Program Pemilikan Perumahan dan Karnival Jom Beli Rumah yang diadakan di Pusat Pameran Midvalley (MVEC) di Kuala Lumpur. – UTUSAN/AMIR KHALID
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Indonesia tidak kisah jika Malaysia membuat keputusan membatalkan MoU pengambilan pekerja dari negara itu yang dimeterai 1 April lalu.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mengumumkan pembekuan sementara kemasukan semua pekerja Malaysia berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat bersama pegawai kementerian luar dan kementerian tenaga kerja negara itu.
Keputusan itu dibuat setelah saluran sistem saluran tunggal yang dipersetujui dalam MoU terkesan dengan sistem MOS yang masih membenarkan pekerja Indonesia memasuki negara ini menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja. – UTUSAN










