DENGKIL: Sejumlah RM12 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor setiap tahun bagi kerja-kerja membaik pulih pangsapuri kos rendah dan sederhana menerusi Skim Ceria.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, peruntukan tersebut meliputi pelbagai kategori kerja baik pulih termasuk taman-taman riadah, bumbung, tangki serta fasad bangunan pangsapuri.
“Sebenarnya peruntukan tersebut tidak mencukupi kerana Selangor memerlukan pendekatan lebih luas dan di luar kotak ekoran kepesatan pembangunannya.
“Ia seperti diumumkan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) baru-baru ini mengenai kelulusan 120,000 unit bangunan strata baharu, jadi keseimbangan antara pembangunan baharu dan lama itu perlu ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Pangsapuri Ruvena Villa, Taman Perdana Putra di sini hari ini.
Rodziah berkata, sebanyak lima lokasi akan dipilih setiap tahun berdasarkan unjuran bagi memastikan kawasan berkenaan mempunyai nilai tambah seperti ruang komuniti dan kebun komuniti selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Katanya, taman riadah Pangsapuri Ruvena Villa merupakan salah satu daripada lokasi yang diluluskan peruntukan kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan PlanMalaysia Selangor dengan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) sebagai pelaksana.
Jelas beliau, projek naik taraf taman riadah itu menelan belanja kira-kira RM140,000 dan berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan pada 15 Jun lalu.
“Ada lima lokasi setiap tahun yang kita telah unjurkan untuk memastikan kawasan-kawasan berkenaan wajar kita tambah nilai seperti ruang dan kebun komuniti supaya penduduk sekitar boleh bersosial dengan baik.
“Kita juga mahu lihat penggunaan semaksimum mungkin teknologi terkini untuk diguna pakai dalam melaksanakan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni ini,” jelasnya.
Sementara itu Yang Dipertua MP Sepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, projek berkenaan merupakan salah satu inisiatif bersama dalam mencapai SDG.
“Justeru secara tidak langsung dengan pelaksanaan projek ini kita telah mencapai salah satu SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan serta mencapai sasaran SDG 11.7 iaitu menyediakan akses sejagat yang selamat, menyeluruh dan mudah dicapai kepada kawasan hijau dan tempat awam menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN










