‘Saya tiada autoriti dalam RoS untuk lulus permohonan UMNO’ - Hamzah - Utusan Malaysia

‘Saya tiada autoriti dalam RoS untuk lulus permohonan UMNO’ – Hamzah

HAMZAH Zainudin beramah mesra dengan para pesilat pada Majlis Silaturahim Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak ada sebarang kuasa ke atas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan menegaskan hanya boleh bertindak terhadap sebarang permohonan rayuan daripada mana-mana pihak setelah keputusan dikeluarkan agensi berkenaan.

“Memang betul RoS di bawah kementerian saya tetapi saya sendiri pun tiada autoriti untuk sebarang permohonan oleh pihak tertentu kecuali kes rayuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Silaturrahim Pendekar anjuran Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia yang disertai Presidennya, Roslim Abu di Hotel Everly, di sini hari ini.

Semalam, sepatutnya merupakan tarikh akhir RoS membuat keputusan atas permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menunda pemilihan jawatan UMNO susulan parti tersebut mengemukakan pindaan perlembagaan pada 17 Mei lalu setelah diluluskan 2,586 perwakilan dari 191 bahagian ketika sesi Perhimpunan Agung Khas.

Pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO itu bakal memberi lanjutan tempoh selama enam bulan untuk diadakan pemilihan parti berkenaan selepas tamat pilihan raya umum.

Hamzah berkata, beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenai sebarang keputusan RoS malah menjelaskan bukan dirinya yang menentukan tindakan agensi tersebut.

Dalam perkembangan lain jelasnya, pemakaian dan pembawaan keris di tempat awam secara terbuka masih lagi dilarang mengikut undang-undang negara kerana alat tajam itu tetap dirujuk sebagai senjata.

Beliau mengulas saranan pihak tertentu yang mahu keris dengan lengkap busana Melayu dibolehkan di kawasan awam.

“Undang-undang tetap undang-undang, bukan sebab isu pakaian tetapi pada saya, kekuatan dalaman yang lebih mustahak meskipun individu tersebut tidak pernah pun menyarung keris. Maka, janganlah kita memulakan sesuatu yang boleh menyebabkan orang lain mengatakan fitnah konon keris itu pula mencetuskan masalah pertumpahan darah di muka bumi,” jelasnya.

Keris tertakluk di bawah Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dengan sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya