PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Difahamkan, siasatan dibuat susulan laporan polis dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Pejuang di Selangor manakala Ketua Sosialis Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) Dr. Kelvin Yii Lee Wuen di Kuala Lumpur.
Memberitahu Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata, pihaknya mengesahkan menerima dua laporan tersebut.
“Bagaimanapun, laporan itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman sedang menyiasat perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Pada 22 Julai lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa Tan Sri Mohamed Apandi Ali disiasat susulan dakwaan bekas Peguam Negara itu bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, laporan bahawa Apandi bertindak sebagai orang tengah untuk Jho Low mengejutkan.
Susulan itu beberapa wakil Pejuang dan pemimpin politik pembangkang telah membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan penglibatan Mohamed Apandi.
Dalam laporan itu, mereka turut mendakwa kedudukannya sebagai Peguam Negara ketika itu memberi ruang dan peluang buatnya terlibat dengan salah laku berkaitan skandal berat itu.
Ini juga mengambil kira cubaannya untuk menggugurkan sebarang pertuduhan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawat jawatan berkenaan.
Sebelum ini, Jho Low dilaporkan bersedia untuk memulangkan wang RM1.5 bilion untuk menyelesaikan kes penyelewengan dana 1MDB.
Apandi sebelum ini menjelaskan bahawa peranannya mengatur pertemuan Jabatan Peguam Negara bersama firma guaman mewakili Jho Low, Kobre dan Kim, hanya sebagai fasililator.- UTUSAN










