Polis Johor tahan 25 individu, rampas pelbagai barang seludup hampir RM2 juta 

Polis Johor tahan 25 individu, rampas pelbagai barang seludup hampir RM2 juta 

KAMARUL  Zaman Mamat (kiri) menunjukkan gambar modus operandi penyeludupan minyak masak peket  sambil diperhatikan Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin dalam sidang khbar Op Kontraban Kontinjen Johor di IPD Seri Alam, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan khas yang ditubuhkan Polis Johor bagi menangani kegiatan kontraban di negeri ini berjaya menahan 25 lelaki membabitkan nilai rampasan hampir RM2 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu yang ditahan termasuk enam warganegara asing berusia antara 20 tahun hingga 53 tahun.

Beliau berkata, polis melancarkan operasi khas tersebut bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan bersubsidi seperti minyak diesel, minyak masak, rokok dan arak di seluruh negeri ini.  

“Bermula Rabu lalu hingga pukul 2 pagi ini, pasukan khas kontraban membuat sebanyak 14 serbuan di hampir semua daerah termasuk di Mersing, Johor Bahru, Muar, Kota Tinggi dan Segamat. 

“Dalam serbuan itu, rampasan dilakukan membabitkan 4,012 peket minyak masak, 158,380 liter minyak diesel, 215 karton dan 476 rokok pelbagai jenama, 216 karton dan 50 botol arak pelbagai jenama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini. 

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah 16 lori termasuk sebuah lori tangki, sebuah kereta, dua buah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta peralatan penyeludupan yang lain.

Kamarul Zaman berkata, semakan rekod ke atas semua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau bagi kegiatan jenayah atau dadah. Tambahnya, pemeriksaan ke atas warganegara asing pula mendapati mereka menyalahgunakan dokumen perjalanan masing-masing. 

Suspek warga asing itu diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959)63. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN