SHAH ALAM: Polis memberi jaminan pencarian Zalina Azman tetap diteruskan dan akan melakukan sisastan lanjut bagi mengesan kedudukan terkini bekas personaliti TV3 yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, sehingga kini, pelbagai ikhtiar dilakukan polis untuk mengesan Zalina Shaharah Azman, 58, dan berharap dari semasa ke semasa akan ada perkembangan terkini.
“Pencarian orang hilang (OH) akan diteruskan sehingga ditemui, cuma kita tidak pasti keadaannya sama ada masih hidup atau sebaliknya. Bila sudah ditemui, baharu kita akan buat pembatalan (rekod polis)
“Itu sebabnya kami sebarkan keluar sebab yang lain semua kami sudah habis ikhtiar. Kami sudah usaha, kami minta bantuan pegawai supaya dapat salurkan maklumat. Masa sahaja yang akan menentukan perkembangan-perkembangan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menambah, pihaknya tidak menolak untuk bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengesan bekas pengacara rancangan ‘Money Matters’ itu.
“Kita akan semak sebarang tindakan, kalau ada pendaftaran (Zarina) dengan mana-mana jabatan kerajaan. Cuma buat masa sekarang belum ada sebarang tindakan ke arah itu lagi,” jelasnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi tidak menjangka kehilangan bekas pengacara rancangan ‘Money Matters’ itu mempunyai kaitan dengan jenayah.
Terdahulu, berita kehilangan Zalina heboh apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berkongsi berita dan gambar wanita itu di Facebook pada Isnin lalu.
Sementara itu dalam perkembangan semalam, Mohd. Iqbal dilapor memaklumkan graduan sarjana kewartawanan sebuah universiti di London itu kemungkinan hilang lebih awal berbanding 29 November tahun lalu.
Jangkaan tersebut adalah berdasarkan kali terakhir panggilan keluar masuk menerusi telefon bimbitnya yang dikenalpasti dimatikan pada 20 November.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan ahli keluarga Zalina masih positif dengan siasatan polis, walau bagaimanapun masih mengharap wanita itu ditemui dengan selamat dalam masa terdekat.
“Ahli keluarga positif dan berpuas hati dengan siasatan polis. Cuma mereka harap polis maklum pada mereka berkenaan apa tindakan yang diambil. Kira, polis sentiasa berhubung dengan ahli keluarga Zalina. Memang kita maklum kepada anaknya (Mikhael Norman) sebagai pengadu,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE