PM bakal adakan lawatan rasmi ke China

PM bakal adakan lawatan rasmi ke China

 SAIFUDDIN Abdullah (empat dari kanan) beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-48 hubungan diplomatik Malaysia-China di Wisma Huazong, Lebuhraya Sungai Besi, Kuala Lumpur, malam ini. - UTUSAN FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi buat kali pertama ke China.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika mewakili Perdana Menteri dalam majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

“Saya memaklumkan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi buat kali pertama ke China nanti.

“Presiden Xi Jinping dan Premier Li Keqiang akan meneliti dan mempertimbangkan lawatan ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama malam ini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan bahawa Ismail Sabri menyatakan rasa puas hati terhadap kemajuan hubungan antara Malaysia dan China ketika menerima kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi pagi tadi.

“Banyak yang telah dicapai hampir setengah abad dalam hubungan kedua-dua negara. Saya berpuas hati dengan kemajuan hubungan antara Malaysia dan China,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia akan terus mengukuhkan perdagangan, mencari peluang pelaburan dan mempromosi kerjasama antara kedua-dua negara.

“Kita mahu membina jambatan penghubung dan bukan tembok pemisah, serta menjalin hubungan yang positif, hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Malah, katanya, hubungan Malaysia dan China bertambah erat selepas era pandemik Covid-19.

“Ramai jangka hubungan antara kedua-dua negara telah menurun akibat pandemik, namun hubungan dagang menunjukkan purata peningkatan 16 peratus sepanjang tahun lalu, dengan nilai perdagangan melebihi RM421 bilion.

“Saya yakin kita akan dapat lebih banyak manfaat hasil kerjasama akan datang. Kita juga berharap China mengambil kira kepentingan negara jiran dan rakan kongsi dalam kerjasama antarabangsa.

“Masa depan bergantung kepada kesepakatan praktikal dalam arena hubungan antarabangsa. Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam kerjasama dengan negara sahabat,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN