Platform khusus OKU pekak salur info, maklumat rasuah

Platform khusus OKU pekak salur info, maklumat rasuah

NORAZLAN Mohd. Razali (tiga kanan) bersama Ras Adiba Radzi (dua kanan) beramah mesra bersama golongan komuniti orang pekak pada Program Antirasuah Bersama Komuniti Orang Pekak di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperkenalkan satu platform khusus bagi memudahkan komuniti orang kurang upaya (OKU) pekak menyalurkan maklumat berkaitan isu rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjayanya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali berkata, platform komunikasi berstruktur secara digital itu dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya bulan depan dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Beliau berkata, kemudahan ini membabitkan penyediaan saluran aduan dan maklumat khusus oleh SPRM kepada komuniti OKU pekak selain medium perkongsian maklumat berkaitan rasuah.

“Sebelum ini, kita tidak menerima banyak aduan oleh komuniti OKU pekak berkaitan kes rasuah dan yang datang mengadu hanya satu atau dua kes sahaja.

“Namun, selepas ini, jika ada elemen rasuah berlaku membabitkan penyelewengan dana dan peruntukan persatuan, mereka boleh salurkan maklumat dengan cepat dan  tindakan segera dapat dijalankan bagi mengelak ketirisan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Antirasuah Bersama Komuniti Orang Pekak, di sini hari ini.

Sebelum ini, katanya, komuniti orang pekak hanya menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan rasuah kepada persatuan masing-masing sebelum memanjangkannya kepada SPRM, malah ada yang menulis aduan dan salurkan kepada SPRM.

Norazlan berkata, platform ini adalah langkah pertama SPRM dengan komuniti OKU pekak dan ia akan dipanjangkan kepada komuniti OKU lain pada masa depan.

Berhubung kerahsiaan maklumat yang akan disalurkan menerusi platform itu pula, Norazlan berkata, pihaknya memberi jaminan maklumat itu dirahsiakan berdasarkan ruang litup undang-undang malah, kerahsiaan pemberi maklumat juga terjamin.

Dalam pada itu, Norazlan berkata, pihaknya melihat tahap kepekaan komuniti OKU terhadap rasuah bertambah baik namun, mereka mungkin tidak berapa jelas mengenai sifat-sifat dan kesalahan rasuah itu sendiri.

“Mereka masih keliru sama ada menerima hadiah itu rasuah atau salah guna kuasa itu juga adalah satu bentuk rasuah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, pihaknya akui sebelum ini wujud keterbatasan komunikasi kerana orang pekak sukar meluahkan aduan dan maklumat.

“Kerjasama dengan SPRM ini sudah lama kami nantikan dan kami juga merasakan bukan lagi sebagai rakyat kelas ketiga sebaliknya diraikan seperti rakyat lain.

“Justeru, sudah tiba masanya bagi SPRM memperkenalkan perkhidmatan jurubahasa isyarat dalam semua urusan rasmi SPRM terutama ketika berhubung dengan OKU pendengaran dan pertuturan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN