KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta memilih tawaran visa furada daripada syarikat yang berdaftar dan berlesen sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, orang ramai seharusnya berurusan dengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan agensi-agensi pelancongan yang dilesenkan oleh lembaga tersebut iaitu syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan anak syarikatnya, TH Travel & Services Sdn. Bhd.
“Bagi musim haji 2022/1443 Hijrah, Tabung Haji memberi lesen mengendalikan pakej haji kepada 22 syarikat PJH dan TH Travel.
“Rata-rata syarikat-syarikat PJH ini berpengalaman dalam menguruskan jemaah umrah dan haji. Sebab itu kita mengharapkan orang ramai memilih syarikat yang berlesen,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) mengenai usaha kerajaan menangani isu penipuan melibatkan visa furada.
Bagaimanapun, Idris memberi jaminan bahawa Tabung Haji akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat isu melibatkan visa furada.
“Sebelum ini, ketika Kerajaan Arab Saudi membuka kuota haji, ada iklan visa furada oleh sebuah syarikat, maka kita hantar surat tunjuk sebab kepada syarikat tersebut.
“Namun, kerajaan berusaha memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai risiko tawaran visa furada daripada syarikat yang tidak berlesen. Kita mengharapkan laporan polis dibuat terutama kepada mereka yang terlibat terkena dengan syarikat yang menipu.
“Maka, sebab itu bila ada kes kes sebegini kita akan terus bekerjasama dengan polis, Tabung Haji dan syarikat berdaftar dengan Kementerian Pelancongan. Maka kita boleh ambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya. – UTUSAN









