PH terbuka jika PM mahu adakan MoU lanjutan - Utusan Malaysia

PH terbuka jika PM mahu adakan MoU lanjutan

SALAHUDDIN Ayub mengadakan perhimpunan aman Bantahan Kenaikan Harga Barang di Kampung Pasir, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbangkan sebarang cadangan berkenaan memorandum persefahaman (MoU) lanjutan antara kerajaan sedia ada dengan pembangkang.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bersedia untuk melakukan perkara tersebut kerana memikirkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, MoU sedia ada yang bakal tamat pada 31 Julai ini telah membantu mengurangkan ‘politiking’ dalam keadaan pasca pandemik Covid-19, khususnya di dalam Parlimen.

“Sebagai contoh, kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob datang kepada kita (PH) untuk berunding soal MoU, kita sedia timbang kerana ini untuk kepentingan bersama rakyat.

“Menerusi MoU sedia ada, kita sudah buktikan bahawa apabila kita tandatangan, kita sama-sama bantu dan tidak berlaku ‘politiking’ dalam Parlimen, bajet tahun lepas lulus dengan persetujuan majoriti dan banyak juga usul kerajaan yang kita terima,” katanya selepas mengetuai perhimpunan aman bagi membantah kenaikan harga barangan asas di Kampung Pasir di sini hari ini.

MoU antara kerajaan sedia ada dan PH yang bakal tamat hujung bulan ini telah ditandatangani dan dipersetujui pada 13 September 2021 bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dalam negara.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pihaknya terbuka untuk menandatangani MoU dengan kerajaan bertujuan memastikan tiada pihak yang berterusan merebut jawatan dalam kerajaan.

“Kita mahu kerajaan sedia ada stabil hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang boleh ditarik sehingga pertengahan tahun depan kerana mahu kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kesejahteraan rakyat. Jadi, kita harap jangan ada permainan politik dan jangan ada cubaan untuk bubar Parlimen dalam tempoh terdekat, sebaliknya tumpukan untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN