Kumpul memori perjalanan melalui ‘stamp hunting’

Kumpul memori perjalanan melalui ‘stamp hunting’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hobi mengumpul cop mungkin masih asing bagi sesetengah orang, namun bagi Tuan Dania Darwisya Tuan Syafawi, 26, hobi ini bukan sekadar aktiviti mengumpul cop, sebaliknya satu perjalanan yang sarat dengan pengalaman, emosi dan kenangan.

Berasal dari Batu Pahat, Johor, Dania merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Dia kini bekerja sebagai hos siaran langsung di Sometime by Asian Designers, selain sedang melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Ekonomi Kewangan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penglibatannya dalam hobi ini bermula secara tidak sengaja pada 2025 ketika meluangkan masa bersama sahabat baiknya, Izzah Aqilah.

Ketika itu, mereka membeli pas sehari dan berjalan-jalan seperti pelancong di sekitar Pasar Seni sebelum menemui sebuah kedai bernama Paper Adventure.

“Saya nampak beberapa orang sedang mengecop buku mereka dengan pelbagai cop menarik. Rasa ingin tahu membuatkan saya bertanya dan rupanya cop tersebut adalah percuma.

“Saya kemudian membeli buku khas untuk mengumpul cop daripada Loka Made dan turut menerima poskad percuma untuk dicop. Dari situ, saya terus mula mengumpul cop,” katanya kepada Seri.

Momen itu bukan sahaja memperkenalkan hobi baharu, malah mencipta kenangan indah bersama sahabatnya.

Sejak itu, dia mula mencari lokasi lain melalui aplikasi TikTok bagi menambah koleksi.

Setiap kali berjaya menemui cop sukar dicari, perasaannya teruja seolah-olah menang hadiah dalam permainan.

“Perasaan saya waktu itu macam sedang bermain game dan akhirnya berjaya menang hadiah,” katanya.

Peluang jelajah bandar
Menurut Dania Darwisya, keunikan stamp hunting ialah sifatnya yang percuma dan memberi peluang kepada individu untuk menjelajah bandar dengan cara berbeza.

Aktiviti ini menjadikan seseorang lebih peka terhadap persekitaran, seolah-olah menjadi maze runner yang mencari lokasi tersembunyi dengan cop unik.

“Hobi ini bukan sahaja boleh dilakukan di Kuala Lumpur, malah di luar negara seperti Jepun yang terkenal dengan pelbagai lokasi cop menarik.

“Selain menyeronokkan, ia juga membuatkan saya lebih aktif kerana jumlah langkah berjalan meningkat setiap kali melakukan aktiviti ini,” jelasnya.

Sebagai pelajar yang sedang menyiapkan tesis berkaitan pelancongan di Malaysia, Dania melihat stamp hunting sebagai medium pembelajaran praktikal.

Aktiviti ini memberi pendedahan kepadanya tentang tingkah laku pelancong, tarikan destinasi serta cara orang menjelajah sesuatu tempat.

Menurutnya, stamp hunting membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar mengumpul cop.

“Setiap cop melambangkan momen, lokasi dan emosi yang dialami, sekali gus menjadi cara peribadi untuk merakam memori kehidupan,” katanya.

Apabila melihat semula buku cop yang telah penuh, Dania Darwisya berasa puas hati kerana menyedari banyak tempat yang telah dilawati sepanjang perjalanan.

Tempat yang dikunjungi
Antara lokasi paling menarik yang pernah dikunjunginya ialah Melaka yang kaya dengan budaya serta warisan Baba Nyonya. Malah, cop di negeri itu disifatkan sebagai antara yang bermakna buat dirinya.

“Saya sangat suka konsep warisan dan klasik seperti Baba Nyonya yang cantik dan berwarna-warni. Suasana dan seni bina di sana memberi pengalaman yang berbeza dan membuatkan cop tersebut lebih istimewa,” katanya.

Selain itu, dia gemar mengunjungi kedai seperti Kuma Journal di Cyberjaya, Stickerrific di Petaling Jaya dan Mariari di Bandar Puteri Puchong.

Lokasi paling jauh yang pernah dikunjunginya ialah Lego Certified Store di Delipark Medan, Indonesia.

Sepanjang aktiviti ini, Dania juga berkenalan dengan individu baharu, khususnya ketika di Melaka.

Mereka sempat berbual dan bertukar maklumat mengenai lokasi cop yang telah dan akan dikunjungi.

Dania turut menyimpan hasrat untuk memperluaskan pengalaman stamp hunting ke peringkat antarabangsa, terutamanya di Jepun yang terkenal dengan budaya cop yang kuat.

Malah, dia turut berhasrat untuk melakukan stamp hunting di seluruh dunia apabila berpeluang melancong.

 

Cabaran
Walaupun menyeronokkan, Dania Darwisya mengakui terdapat cabaran dalam aktiviti ini, terutama merancang laluan perjalanan dan memilih lokasi yang sesuai.

Dia lebih gemar merancang perjalanan lebih awal berbanding secara spontan.

Katanya, ada kalanya dia mengambil masa sehingga sehari semalam untuk menyusun laluan perjalanan agar semua lokasi dapat dikunjungi dengan baik.

Dia juga memilih lokasi yang mudah diakses dengan pengangkutan awam agar perjalanan lebih santai.

“Kadang-kadang ada juga situasi lucu seperti tersalah naik tren. Sepatutnya lima minit untuk sampai, boleh jadi satu jam,” katanya.

 

Luang masa sekali seminggu

Biasanya, Dania Darwisya memperuntukkan sepanjang hari untuk hobinya kerana ia merupakan cara terbaik untuk mengisi masa lapang sambil menikmati pengalaman baharu.

Dia juga konsisten melakukan aktiviti ini kira-kira sekali seminggu pada hari cuti, dengan persiapan yang cukup ringkas iaitu hanya membawa buku setem.

Setakat ini, dia telah mengumpul lebih kurang 50 lokasi cop sepanjang tahun dan jumlah tersebut terus bertambah dari semasa ke semasa.

Kos mesra poket
Dari segi kos, hobi ini disifatkan sebagai mesra poket, terutama dengan penggunaan pas perjalanan seperti My50.

“Secara asasnya percuma, cuma ada sesetengah tempat yang memerlukan pembelian minimum sekitar RM5. Tapi keseluruhannya masih murah,” katanya.

Menurutnya, hobi ini memberi pelbagai manfaat termasuk meningkatkan kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah melalui perancangan perjalanan serta penggunaan pengangkutan awam.

Dalam masa sama, ia membantu mencapai sasaran 10,000 langkah sehari, sekali gus menyokong gaya hidup sihat.

Lebih menarik, dia turut mengaitkan pengalaman ini dengan konsep art of sondering, iaitu kesedaran yang setiap individu mempunyai cerita kehidupan tersendiri.

Melalui pemerhatian sepanjang perjalanan, ia secara tidak langsung memupuk empati dan kesedaran sosial.

Dalam konteks keluarga, Dania Darwisya menyifatkan aktiviti ini sesuai untuk semua peringkat umur kerana bersifat santai dan berkos rendah.

“Setiap cop yang dikumpul bukan sekadar hobi, tetapi simbol kenangan bersama keluarga yang boleh diingati dalam jangka masa panjang,” katanya.

Harapannya agar stamp hunting dapat terus berkembang di Malaysia dan menjadi salah satu tarikan pelancongan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN