Pesara rugi RM26,000 diperdaya Macau Scam - Utusan Malaysia

Pesara rugi RM26,000 diperdaya Macau Scam

YUSHARIFUDDIN MOHD. YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM26,000 lesap akibat diperdaya Macau Scam .

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, dalam kejadian semalam, mangsa berusia 60 tahun itu pada mulanya menerima sistem pesanan ringkas (SMS) dari nombor telefon ‘68886’.

Katanya, SMS tersebut memaklumkan bahawa terdapat transaksi daripada kad kredit mangsa ke satu akaun e-dompet dalam talian.

“Mangsa terus menghubungi nombor 03-27146103 yang tertera dalam SMS dan bercakap dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai bank bagi menafikan kad kredit berkenaan milik pesara tersebut.

“Mangsa kemudian diminta menyerahkan nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian miliknya kepada suspek bagi tujuan semakan selepas individu berkenaan menyatakan akaun bank pesara tersebut digodam individu tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa yang percaya kemudian menyerahkan maklumat perbankan dalam talian miliknya kepada suspek sehingga berlaku pindahan wang tanpa disedari pesara terbabit.

Menurut Yusharifuddin, setelah maklumat perbankan dalam talian diserahkan, mangsa sedar bahawa wang simpanan berjumlah RM26,000 itu dipindahkan ke akaun lain.

Katanya, polis membuka satu kertas siasatan dan penyiasatan dijalankan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Polis kini sedang mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek bagi transaksi pengeluaran wang mangsa. Polis juga ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah panik dan percaya dengan SMS dan panggilan sedemikian,” jelasnya.

Tambahnya, orang ramai diminta supaya bertanya dan membuat semakan dengan bank terdekat sebelum mengikuti apa-apa arahan diberikan secara dalam talian. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya