KEPRIHATINAN rakyat negara ini membantu saudara seagama Islam khususnya di Kemboja menerusi Projek Waqaf Telaga membolehkan Pertubuhan Arrasyid membina lebih 1,480 telaga, tahun ini.
Pembinaan telaga-telaga ini memudah dan meringankan beban penduduk terlibat yang terpaksa berjalan kaki berulang-alik berpuluh kilometer untuk mengangkut air dari sungai.
Keadaan lebih memeritkan bagi mereka apabila turut berdepan cuaca panas dan usia sudah lanjut ditambah dengan faktor kesihatan tidak menentu.
Kegembiraan pada wajah seorang penerima dikenali sebagai Nenek Kalsom sudah cukup membuktikan betapa bersyukurnya mereka apabila ada kemudahan air di depan rumah sendiri.
Menurut pertubuhan itu, para pewakaf beruntung kerana mendapat pahala yang besar selagi mana air tersebut digunakan untuk kegunaan penduduk seperti berwuduk, mandi dan memasak.
Sasaran Pertubuhan Arrasyid adalah membina 3,000 telaga pada tahun ini. Dengan sumbangan serendah RM150 untuk satu bahagian, orang ramai mampu berkongsi rezeki bagi mengurangkan beban mereka.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 011-1615 2885. – UTUSAN