KOTA BHARU: Pas tidak mempunyai masalah untuk menukar simbol bulan yang sudah sinonim dengan rakyat di Kelantan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau percaya penyokong serta pendukung parti itu pasti akan memahami serta patuh dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi nanti.
Menurutnya, hal ini kerana parti itu sudah mempunyai banyak pengalaman berhubung isu penukaran dan penggunaan logo dalam pilihan raya.
“Kita rasa tiada masalah berhubung kesesuaian penggunaan logo PN di Kelantan yang sudah sinonim dengan logo bulan. Kita yakin ahli-ahli serta penyokong Pas memahami dan akan patuh dengan keputusan parti.
“Pas ada banyak pengalaman berkenaan isu logo ini. Kita pernah sertai dan guna logo BN (Barisan Nasional), malah logo bulan serta bulan dan bintang pernah diharamkan sehingga kita terpaksa guna logo tangan. Jadi kita rasa tiada masalah berkenaan perkara itu,” katanya pada Majlis Jamuan Rakyat Aidiladha Parlimen Kubang Kerian di sini semalam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, mesyuarat pimpinan tertinggi PN memutuskan terdapat keperluan untuk diwujudkan logo serta penukaran warna kerana ada isu selepas pilihan raya di Johor dan Melaka baru-baru ini.
Katanya, sebahagian pengundi berasa keliru dengan warna biru yang sama digunakan oleh BN dan PN menyebabkan mereka mengundi BN walaupun bermati-matian menyokong kepimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita telah suarakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi PN mengenai keperluan menggunakan warna berbeza antara BN dan parti-parti lain. Kita juga telah bermesyuarat dan bersetuju mengenai keperluan PN untuk mempunyai logo sendiri.
“Ini kerana PN tidak mempunyai logo sendiri sehingga kini sebaliknya hanya menggunakan tulisan Perikatan Nasional. Namun perkara ini masih di peringkat penilaian berkenaan bentuk logo serta warnanya,” jelasnya.
Ibrahim berkata, perhatian serius akan diberikan kepada dua perkara berkenaan dan akan cuba diselesaikan sebelum pilihan raya, manakala berkenaan penggunaannya adalah bergantung kepada keputusan parti.
Utusan Online semalam melaporkan, PN akan mengubah suai dan menambah baik logo PN sedia ada termasuk kemungkinan menggunakan simbol parti-parti yang ada dalam gabungan itu.
Muhyiddin berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dua minggu lalu. – UTUSAN