KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang mengulangi pendirian tidak bersetuju melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan 28 hari.
Ini termasuk skeptikal pembangkang berkenaan jaminan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa SOSMA tidak akan disalah guna bagi tujuan tertentu, menghormati hak individu supaya berjumpa dengan peguam dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Ramkarpal Singh [PH-Bukit Gelugor] membidas hujah Hamzah bahawa sejak usul lanjutan subseksyen SOSMA ditolak kali pertama pada 23 Mac lalu telah berlaku beberapa kejadian jenayah terancang dan keganasan.
Beliau bagaimanapun berkata, SOSMA masih berkuat kuasa sehingga 31 Julai ini dan kegiatan jenayah sepanjang SOSMA masih berkuat kuasa menunjukkan undang-undang itu tidak berkesan dalam membendung jenayah keganasan.
“Kita perlu lihat keseluruhan skema SOSMA, bukan sahaja pada subseksyen 4(5), malah ada seksyen-seksyen lain yang menafikan hak jaminan kepada seseorang ditangkap. Menteri tahu seseorang kemungkinan boleh tiada peguam semasa disoal balas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mariah Chin Abdullah [PH-Petaling Jaya] pula menafikan SOSMA tidak akan digunakan untuk tujuan politik kerana mengikut pengalamannya, beliau telah ditahan di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 124 kerana dituduh melibatkan diri dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.
“Dan untuk menguatkuasakan Seksyen 124 ini, SOSMA sebagai prosedurnya telah digunakan. Jadi, bagaimana menteri boleh katakan ia tidak akan terbuka kepada penyalahgunaan?” katanya.
Datuk Seri Salahuddin Ayub [PH-Pulai] berkata, apa pun jaminan kerajaan di bawah SOSMA tidak dapat membuktikan ia dapat dilaksanakan dalam aspek keadilan.
“Sahabat saya sendiri YB Kota Raja (Mohamad Sabu), dibawa ke Bukit Aman disebabkan video Tiktok dan Facebooknya yang mengajak rakyat berhimpun secara aman dan telefon beliau dirampas.
“Jadi, itu pun tidak meyakinkan kita, bagaimana boleh salah guna terhadap satu kes yang begitu mudah, di bawah Seksyen 112 Kanun yang tiada keganasan berlaku pun. Ini kan pula SOSMA,” katanya.
Cha Kee Chin [PH-Rasah] berkata, kerajaan tidak menghormati keputusan terdahulu yang telah dicapai pada 23 Mac lalu dan masih berusaha melanjutkannya, sedangkan, terdapat perkara lain lebih mustahak dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Kita boleh menggunakan masa yang ada untuk perkara lain termasuk membentangkan kertas putih tentang kos sara hidup, jihad menangani inflasi, bentangkan laporan interim mereka untuk dibahaskan. Tetapi sayang, kerajaan tidak beri fokus pada bahagian tersebut yang menyentuh keperitan hidup rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, Dewan Rakyat meluluskan usul bagi membatalkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Parlimen, Mac lalu yang menolak penguatkuasaannya bagi membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan untuk lima tahun lagi.
Parlimen memperuntukkan sunset clause, untuk menyemak semula peruntukan tersebut setiap lima tahun.
Pada 23 Mac lalu, Hamzah telah membentangkan usul lanjutan itu, namun gagal mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat kerana 86 ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 85 yang bersetuju manakala 49 ahli Parlimen tidak hadir. – UTUSAN










